JOE Willock (kanan) menjaringkan gol penyamaan sekali gus mengewakan Liverpool untuk meraih kemenangan. FOTO AFP
JOE Willock (kanan) menjaringkan gol penyamaan sekali gus mengewakan Liverpool untuk meraih kemenangan. FOTO AFP
AFP

Liverpool: Liverpool berdepan satu lagi kekecewaan selepas gol penyamaan Joe Willock minit ke-94 membolehkan Newcastle melakar keputusan seri 1-1 di Anfield, hari ini.

Ia sekali gus menafikan hasrat Liverpool di bawah bimbingan Jurgen Klopp untuk menduduki kelompok empat terbaik Liga Perdana.

Mohamed Salah membuka jaringan selepas hanya tiga minit permainan namun Liverpool mensia-siakan banyak peluang terbaik untuk melebarkan kedudukan pendahulu sebelum akhirnya dihukum pada hujung perlawanan.

Kegagalan meraih tiga mata penuh adalah satu lagi tamparan kepada peluang Liverpool untuk meraih tiket ke Liga Juara-Juara musim depan selepas pemilik kelab itu mahu memastikan mereka konsisten beraksi di pentas Eropah pada setiap musim.

Liverpool adalah salah satu daripada 12 kelab yang sudah bersetuju dengan cadangan penyertaan di Liga Super Eropah (ESL) minggu lalu.

Bagaimanapun cadangan itu gagal selepas menerima kritikan hebat daripada pemain dan penyokong kelab itu.

Protes yang dilakukan di luar Anfield pada Sabtu lalu lebih tenang berbanding yang disaksikan menjelang perlawanan Chelsea dan Arsenal di halaman sendiri namun mesej peminat tetap sama mahu Liverpool tidak menyertai ESL.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 April 2021 @ 10:28 PM