Liverpool, England: Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers menegaskan anak buahnya mempamerkan karakter yang diperlukan untuk kembali memenuhi sasaran mengakhiri saingan Liga Perdana Inggeris di kedudukan empat terbaik selepas seri 2-2 dengan Arsenal, kelmarin.

Selepas jaringan pembukaan Philippe Coutinho dinafikan oleh Mathieu Debuchy pada babak pertama di Anfield, Olivier Giroud menjaringkan gol pada minit ke-64 untuk kembali meletakkan Arsenal di depan.

Bagaimanapun Martin Skrtel menyamakan kedudukan pada minit ke-79 menerusi tandukan padu menerjah masuk ke gawang Arsenal.

Satu mata yang dikutip itu memadai untuk Liverpool selepas menguasai perlawanan.

Meskipun Liverpool ketinggalan 17 mata di belakang Chelsea selaku pendahulu liga, Rodgers yakin pasukan yang muncul naib juara musim lalu itu berada di landasan tepat.

Ditanya adakah Liverpool mampu mencabar kedudukan empat terbaik liga, beliau berkata: “Sudah tentu.”

“Cabaran memang sentiasa hebat. Sudah tentu kami perlu mengutip banyak lagi mata untuk baki saingan musim ini.

“Pemain mempamerkan karakter untuk menang.

“Perkara paling penting ialah keyakinan dan kemampuan dalam pasukan.

“Banyak lagi yang perlu dilakukan tapi sekurang-kurangnya kini kami berada di landasan yang tepat.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Disember 2014 @ 7:37 AM