BALOTELLI jaringkan gol kemenangan dalam saingan menentang Spurs. FOTO EPA
BALOTELLI jaringkan gol kemenangan dalam saingan menentang Spurs. FOTO EPA

Liverpool: Selepas tujuh bulan, 14 perlawanan dan 48 cubaan, Mario Balotelli akhirnya menjaringkan gol pertamanya untuk Liverpool sekali gus menolong The Reds menewaskan Tottenham Hotspur 3-2 di Anfield, awal pagi tadi.

Penyerang dari Itali itu memastikan Liverpool mendapat tiga mata penting menerusi jaringan jarak dekat pada minit ke-83 sekaligus meneruskan cabaran Liverpool dalam saingan buat empat tangga teratas Liga dan kelayakan untuk Liga Juara-Juara.

Balotelli hanya menyertai perlawanan pada minit ke-74 selepas dua kali Liverpool mendahului menerusi jaringan Lazar Markovic dan penalti Steven Gerrard sebelum Harry Kane dan Moussa Dembele menyamakan kedudukan.

Gol pertama untuk Liverpool juga adalah yang pertama bagi Balotelli dalam Liga Perdana Inggeris sejak perlawanan bersama kelab lamanya, Manchester City menentang Wigan Athletic pada November 2012.

Ia juga mungkin dapat meyakinkan pengurus Brendan Rodgers beliau masih boleh memberi sumbangan penting terutama pada penghujung musim ini.

Rodgers sebelum ini pernah menyoalkan komitmen pemain itu dan mencabarnya supaya membuktikan dia berhak bermain.

Liverpool kini berada di tangga ketujuh dan satu mata di bawah Spurs dan hanya perbezaan tiga mata dengan pasukan di tangga keempat. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Februari 2015 @ 12:30 PM