Reuters

London: Pengurus Liverpool Brendan Rodgers (gambar) bakal muncul pengendali pertama Liga Perdana yang akan dipecat tetapi spekulasi itu seperti ada kebenarannya berdasarkan pilihan pengatur perlawanan.

Selepas muncul naib juara musim lalu, permulaan buruk musim ini menyaksikan Reds gagal catat sebarang kemenangan dalam lima perlawanan, menghuni tangga ke-12 liga dan berdepan penyingkiran awal Liga Juara-Juara.

Itu meletakkan Rodgers pada tahap serendah 4/1 pertaruhan bookie untuk dipecat.

Dia mengiringi Harry Redknapp bersama kelab di tangga terbawah, Queens Park Rangers dan pengurus Paul Lambert bergelut bersama Aston Villa bakal dipecat.

“Beberapa bulan lalu, saya bergelar pengurus terbaik, sekarang saya menjadi pilihan untuk dipecat,” kata Rodgers dipetik berkata dalam satu temu ramah.

“Ia menjadi asam garam dalam kehidupan menarik bekerja dalam bola sepak.”

Rodgers dikritik hebat ekoran permulaan buruk Liverpool, dengan persoalan serius turut dibangkitkan terhadap rekodnya dalam pasaran perpindahan pemain, kegagalannya menggantikan Luis Suarez serta merta atau menandatangani penyerang gantian ekoran kecederaan Daniel Sturridge.

Dengan kekurangan gol, peminat mula meragui kemampuannya memperbaiki pertahanan goyah yang dikatakan menyebabkan Liverpool menerima padah terlepas genggaman gelaran juara liga musim lalu.

“Apa anda dapat lakukan adalah fokus terhadap tugasan serta-merta, apa yang dapat anda kawal,” kata Rodgers. “Bagi saya, semuanya mengenai bekerja dengan pemain memberikan penerangan lebih jelas peranan mereka dan fungsi pasukan.”

Selepas Suarez berhijrah ke Barcelona dengan penjualan membabitkan nilai 75 juta pound (RM375 juta), Liverpool mengikat sembilan pemain berharga 130 juta pound (RM650 juta) termasuk sejumlah wang besar untuk Dejan Lovren, Lazar Markovic dan Adam Lallana.

Liverpool memerlukan beberapa pemain berkualiti memperbaiki pasukan, kelab itu dilihat lebih cenderung dengan polisi perpindahan sekadar memperbaiki pasukan berbanding meningkatkan prestasi pasukan mencabar gelaran juara.

Ia adalah kes mudah pembaziran wang, menurut bekas pemain England dan Manchester United, Paul Scholes.

“Jika saya, saya akan menandatangani kontrak semula,” katanya.

“Mereka tidak cukup bagus. Seseorang pengurus hidup dan mati dengan pemain dibawa masuk terutamanya apabila seseorang yang cemerlang seperti Luis Suarez berhijrah.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 November 2014 @ 5:07 AM