PEMAIN AS giat berlatih menjelang pertemuan dengan Jerman.
PEMAIN AS giat berlatih menjelang pertemuan dengan Jerman.
AFP

Berlin: Amerika Syarikat sedia mengaibkan satu lagi gergasi Eropah apabila menentang juara dunia Jerman pada perlawanan persahabatan awal pagi esok dengan jurulatih Juergen Klinsmann berdepan bekas pasukannya.

AS pasukan kurang berpengalaman mengejutkan Belanda dengan kemenangan dramatik 4-3 di Amsterdam minggu lalu dengan dua gol pada minit terakhir.

Perlawanan berikutnya menentang Jerman di Cologne dan skuad Joachim Loew merehatkan ramai pemain bintangnya yang menjuarai Piala Dunia pada perlawanan pemanas badan bagi kelayakan Euro 2016 menentang Gibraltar in Faro, Portugal Sabtu ini.

AS memulakan misi mempertahankan Piala Emas CONCACAF bulan depan apabila berdepan Honduras, Haiti dan Panama dalam Kumpulan A, namun menewaskan Jerman selepas mengecewakan Belanda pasti melonjakkan semangat mereka.

Klinsmann menganggap kemenangan ke atas Belanda sebagai pelajaran berguna bagi pasukan kurang berpengalaman supaya dapat ‘bermain dalam tempo’ menentang lawan berprofil tinggi dan mereka tidak rugi apa-apa ketika menentang Jerman.

“Saya hanya mengharapkan keseronokan ketika menentang juara dunia. Apa lagi yang anda mahu,” kata Klinsmann yang mengemudi Jerman ke tangga ketiga Piala Dunia 2006 sewaktu mereka menjadi tuan rumah dan Loew sebagai pembantunya.

“Jelas sekali ia negara asal saya dan bekas pembantu saya membawa mereka menjulang gelaran Piala Dunia. Jadi ia pastinya hari yang istimewa.

“Bermain menentang pasukan hebat seperti Jerman dan Belanda memberikan pengalaman berharga terutama kepada pemain muda.”

AS kehilangan khidmat penyerang Clint Dempsey dan Jozy Altidore, selain pemain tengah Alejandro Bedoya dan pertahanan Geoff Cameron, Omar Gonzalez dan Matt Besler.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2015 @ 7:37 AM