JERMAN tekad pertahan kejuaraan lalu.
JERMAN tekad pertahan kejuaraan lalu.
AFP

Berlin: Joachim Loew percaya Jerman akan ‘diburu’ habis-habisan dalam cubaannya menjadi pasukan pertama dalam tempoh 56 tahun mengekalkan kejuaraan pada Piala Dunia Russia 2018.

Brazil yang menjulang trofi Jules Rimet pada 1958 dan 1962, menjadi pasukan terakhir berjaya menjulang kejuaraan dunia dua kali berturut-turut selepas Itali turut melakukannya pada 1934 dan 1938.

Namun, jurulatih Jerman, Loew berkata, skuad kendaliannya perlu menunjukkan ‘rasa lapar’ yang diperlukan bagi mengulangi kejayaan dilakukan di Brazil empat tahun lalu.

“Kami akan diburu seperti tidak pernah berlaku sebelum ini dan satu kuasa hampir luar biasa diperlukan jika kami mahu menamatkan kempen dan menjadi juara dunia sekali lagi,” kata Loew.

Loew melihat Brazil yang menewaskan Jerman 1-0 pada aksi persahabatan di Berlin Mac lalu selain Sepanyol, England, Perancis dan Argentina sebagai ancaman utama pasukannya di Russia.

“Hanya kami, sebagai juara dunia, tidak mempunyai apa-apa jika tewas.”

Jerman mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir dalam setiap kejohanan utama sejak Piala Dunia 2006 di bawah kendalian Loew.

Pengendali berusia 58 tahun itu dinaikkan pangkat daripada pembantu bagi menggantikan Juergen Klinsmann sebagai ketua jurulatih pada 2006 dengan Jerman menamatkan kempen Euro 2008 selaku naib juara dan tempat ketiga Piala Dunia 2010.

Saat paling membanggakannya adalah apabila Mario Goetze meledak gol kemenangan 1-0 ke atas Argentina pada final Piala Dunia 2014 di Brazil.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Jun 2018 @ 5:29 AM