PULISIC (kanan) ledak dua gol AS.
PULISIC (kanan) ledak dua gol AS.
AFP

New York: Amerika Syarikat (AS) membelasah St Vincent and the Grenadines 6-0 dan semakin hampir melangkah ke Piala Dunia mewakili zon CONCACAF, namun Kanada perlu bekerja keras selepas tewas 1-2 kepada Honduras, awal pagi semalam.

Pemain remaja Christian Pulisic meledak dua gol pada separuh masa kedua bagi membantu kemenangan besar AS.

Tiga jaringan babak pertama memberikan keyakinan walaupun negara kerdil dari kepulauan Caribbean itu beberapa kali mengancam kubu tuan rumah.

Pemain yang beraksi di Jerman Bobby Wood membuka jaringan pada minit ke-28 apabila bola lencongan yang dilakukannya menuju tepat ke penjuru gawang pada perlawanan di padang kriket Arnos Vale di Kingstown itu.

Jaringan Matt Besler dan penalti yang disempurnakan Jozy Altidore melebarkan jaringan sebelum tamat separuh masa yang berlangsung dalam keadaan berangin.

St Vincent turut meledak dua jaringan pada awal separuh masa kedua namun dibatalkan kerana ofsaid.

Masuk sebagai pemain gantian, pemain berusia 17 tahun, Pulisic kemudiannya mempamerkan kelas tersendiri.

Penyerang Borussia Dortmund Wood meledak gol pertama selepas mendapat hantaran dalam kotak penalti dan melengkapkan kemenangan pada penghujung perlawanan apabila mendapat ruang yang mencukupi di luar kotak penalti sebelum menggegar jaring.

Sacha Kljestan turut meledak jaringan untuk AS yang kini menghampiri peringkat akhir kelayakan CONCACAF.

AS mengumpul 10 mata menerusi lima perlawanan dalam Kumpulan 3, berbaki satu perlawanan menentang Trinidad and Tobago.

“Adalah menggembirakan untuk menang dan pasukan berhak diberikan pujian namun kami perlu menamatkan semuanya dengan menentang Trinidad and Tobago pada Selasa nanti,” kata jurulatih Jurgen Klinsmann selepas perlawanan.

Dua pasukan teratas dalam tiga kumpulan layak ke pusingan seterusnya menggunakan format liga satu pusingan, dengan tiga teratas akan layak secara automatik ke Russia manakala pasukan tempat keempat akan beraksi pada play-off antara benua menentang wakil Asia. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2016 @ 5:11 AM