Schuerrle (dua dari kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan.
Schuerrle (dua dari kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan.

Faro, Portugal: Hatrik Andre Schuerrle membolehkan Jerman menang mudah ke atas pasukan kerdil, Gibraltar 7-0 dalam kelayakan Euro 2016 semalam.

Pada perlawanan yang diadakan di Faro, juara Piala Dunia itu membalas gesaan jurulatih Joachim Loew untuk memperbaiki penyudah mereka selepas tewas kepada Amerika Syarikat 1-2 dalam perlawanan persahabatan di laman sendiri, Khamis lalu.

Kemenangan itu membolehkan Jerman menduduki tangga kedua kelayakan Kumpulan D, ketinggalan satu mata berbanding Poland dan dua mata mendahului Scotland.

Permulaan mereka kurang memuaskan apabila sepakan penalti pemain tengah Bayern Munich Bastian Schweinsteiger diselamatkan penjaga gol Gibraltar Jordan Perez pada minit ke-10.

Nasib mereka berubah menerusi jaringan penyerang Wolfsburg Schuerrle pada minit ke-28 sebelum jurang di antara kedua-dua pasukan semakin lebar pada separuh masa kedua.

Max Kruse, penyerang Borussia Moenchengladbach yang bakal menjadi rakan sepasukan Schuerrle di Wolfsburg musim depan menggantikan Mario Goetze akhir babak pertama menjadikan kedudukan 2-0 sebaik bermula separuh masa kedua.

Ilkay Gundogan dan Karim Bellarabi menambah jaringan berikutnya sebelum Schuerrle menjaringkan dua gol untuk melengkapkan hatrik dan Loew hanya tenang di bangku pasukan.

Kruse menambah jaringan keduanya, menjadikan kedudukan 7-0 memberikan kemenangan selesa buat Jerman yang bakal menentang Poland di laman sendiri dan Scotland di tempat lawan.
- AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2015 @ 10:25 AM