LOEW (tengah) ketika mengendalikan sesi latihan Jerman. FOTO/AFP
LOEW (tengah) ketika mengendalikan sesi latihan Jerman. FOTO/AFP
AFP

BERLIN: Joachim Loew berdepan ujian paling getir sepanjang tempoh 12 tahun sebagai pengendali Jerman menjelang kempen Liga Negara-Negara berdepan Belanda dan juara dunia, Perancis.

Selepas memperolehi sedikit ruang untuk ‘bernafas’ susulan keputusan 0-0 dengan Perancis di Munich bulan lalu, Loew perlu mengemudi skuadnya mengutip sebanyak mungkin mata daripada pertemuan dengan Belanda, Sabtu ini.

Begitu juga ketika pertembungan dengan Perancis, Selasa ini - jika beliau mahu menyelamatkan reputasinya yang sudah tercalar.

Bekas kapten pasukan, Michael Ballack menyerangnya minggu ini, dengan mendakwa dia amat terkejut Loew masih mengekalkan posisinya selepas kegagalan buruk Jerman di Piala Dunia 2018, yang menyaksikan mereka tersingkir pada peringkat kumpulan.

Jurgen Klinsmann yang membimbing Jerman ketika Loew bertindak sebagai penolong jurulatih pada Piala Dunia 2006, turut memberi tekanan lagi dengan berkata, mara ke separuh akhir Euro 2020 kini harus menjadi pencapaian paling minimum buat Die Mannschaft.

“Memang terdapat jangkaan Joachim akan menebusnya dengan kemenangan dan mara ke separuh akhir pada Euro akan datang,” kata Klinsmann kepada majalah Sport Bild.

Bekas penyerang Jerman berusia 54 tahun itu berkata, hasil perbualannya bersama Loew selepas Piala Dunia lalu meyakinkan beliau bahawa pengendali itu masih mempunyai ‘kelaparan’ untuk memburu kejayaan.

Apa yang peliknya, Loew yang menjulang Jerman memenangi Piala Dunia 2014, masih belum berdepan media pada minggu ini, untuk meninggalkan Toni Kroos mempertahankan jurulatihnya susulan kritikan yang dibangkitkan oleh Ballack.

“Saya fikir beliau berhak mendapat peluang dan saya percaya kami akan memperbaikinya bersama Joachim,” tegas Kroos.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Oktober 2018 @ 11:14 AM