JESSICA ketika menjawab pertanyaan wartawan pagi tadi. - Foto FARDY BUNGGA
JESSICA ketika menjawab pertanyaan wartawan pagi tadi. - Foto FARDY BUNGGA
RANAU 07 June 2015. Valerian Joannes.
RANAU 07 June 2015. Valerian Joannes.
Fardy Bungga


Ranau: “Selepas mendapat berita buruk gempa bumi di Gunung Kinabalu, saya sentiasa berdoa agar bukan tunang saya yang meninggal dunia.

“Namun, saya terpaksa pasrah apabila membuat pengecaman mayat tunang saya itu di di bilik mayat Hospital Queen Elizebeth, Kota Kinabalu,” kata Jessica Sikta, 25, tunang malim gunung Valerian Joannes, 27, antara yang terbunuh.

Menurut Jessica, tunangnya itu sangat komited dengan kerjayanya sebagai malim gunung.

"Saya bercakap dengannya kira-kira jam 9 malam sebelum hari kejadian. Kami berbual menggunakan panggilan video dan sempat berbincang mengenai perkahwinan kami yang dirancang November nanti," katanya ketika ditemui di Kampung Bundu Tuhan, di sini. hari ini.

Lebih 200 orang, termasuk ahli keluarga serta rakan sekampung membanjiri rumah Valerian di Kampung Bundu Tuhan untuk memberikan penghormatan terakhir hari ini.

Orang ramai mula datang ke rumah keluarganya seawal jam 8 pagi tadi dan dilihat turut bersedih dengan kematian Valerian yang disifatkan mereka sebagai mesra serta peramah dengan penduduk kampung.

Difahamkan, upacara sembahyang Valerian dilangsungkan pada jam 1 petang di Gereja St Pius di sini, sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Logkou selepas itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Jun 2015 @ 1:14 PM