PERSEMBAHAN akustik daripada Adira.
PERSEMBAHAN akustik daripada Adira.
PERSEMBAHAN Datuk DJ Dave.
PERSEMBAHAN Datuk DJ Dave.
PERSEMBAHAN Pembukaan daripada kumpulan Rimba Band.
PERSEMBAHAN Pembukaan daripada kumpulan Rimba Band.
Oleh Erdiehazzuan Ab Wahid


Meskipun sibuk dengan jadual kerja yang padat, beberapa artis yang juga bekas pelajar Akademi Fantasia (AF) kelahiran Sabah tetap meluangkan masa menjayakan Konsert Amal ‘Remembering Our Heroes’ Gunung Kinabalu, Jumaat lalu.

Konsert yang berlangsung di Pusat Kebudayaan Sabah itu anjuran bersama Persatuan Artis Sabah de­ngan Lembaga Kebudayaan Sabah dan Persatuan Suang Lotud Sabah itu turut dihadiri lebih 1,000 penonton. Konsert itu turut menampil­kan artis terkenal tanah air, Datuk DJ Dave.

Antara artis kelahiran AF yang membuat persembahan ialah Stacy, Firman, Faizul, Velvet, Rich, Felix Agus, Marsha, Adel, Adira dan Lotter serta artis tempatan Sabah seperti Rimba Band, Chaq Mentor, Jass dan Ray.

Konsert yang diacarakan penyampai radio KKFM, Othoe dan Lopz Wala itu berjaya mengumpul kutipan derma RM64,130 hasil jualan tiket konsert dan derma daripada pelbagai pihak. Kutipan itu akan disalurkan kepada Persatuan Malim Gunung dan ahli keluarga mangsa gempa bumi yang terkorban dalam kejadian gempa bumi Gunung Kinabalu, 5 Jun lalu.

Pada konsert itu juga, naib juara AF3, Felix Agus turut menyanyikan lagu yang ditujukan khas kepada tunang malim gunung yang terkorban, mendiang Velarian Joan­nes iaitu Jessica Sikta.

Beberapa artis yang ditemui terharu dengan sambutan diberikan rakyat Sabah yang menyokong penuh penganjuran konsert amal bagi membantu malim gunung dan keluarga mangsa gempa bumi.

Antaranya, bekas pelajar AF musim kelapan, Adira yang menangguhkan semua aktivitinya di Kuala Lumpur untuk pulang ke Sabah bagi menghadiri konsert amal itu dan tiba di Kota Kinabalu, pagi Jumaat lalu.

“Sebagai anak jati Sabah yang juga tinggal di Kundasang iaitu kawasan yang paling dekat berlaku gegaran gempa bumi, saya rasa terpanggil untuk turut menjayakan konsert amal ini kerana sebahagian malim gunung yang terbabit ada kaitan keluarga dengan saya.

“Justeru, saya menangguhkan semua aktiviti yang dijadualkan hari ini (Jumaat) semata-mata untuk menjayakan konsert bersama rakan artis lain,” katanya.

Adira yang membawakan lagu Ku Ada Kamu itu berharap agar sumbangan yang disalurkan dapat membantu meringankan beban malim gunung yang kehilangan sumber pendapatan untuk meneruskan kehidupan.

“Lagu yang saya bawakan ini juga salah satu lagu semangat untuk mereka yang terbabit meneruskan kehidupan,”katanya.

Juara AF musim keenam, Stacy Angie pula berkata, pembabitannya bersama rakan artis lain dalam konsert itu sebagai tanda penghargaan kepada rakyat Sabah yang banyak membantu menaikkan kerjaya seni mereka sebelum ini.

“Ini sebagai tanda penghargaan kami buat rakyat Sabah di mana semua pungutan derma disalurkan 100 peratus kepada mereka yang memerlukan khususnya malim gunung dan keluarga mangsa gempa bumi.

“Selain itu, kami juga tidak mengambil sebarang bayaran dan ini kerja amal kami buat mereka yang ditimpa bencana meskipun perancangan mengadakan konsert ini dibuat seminggu selepas kejadian gempa bumi,”katanya.

Juara AF 2014, Firman mengakui konsert amal itu berupaya menunjukkan muafakat di antara golongan artis, media dan masyarakat setempat yang bekerjasama membantu misi mengumpul dana konsert amal itu.

“Saya berharap kerjasama dan juga pertalian antara kami semua akan terus erat dan berterusan selain prihatin membantu mangsa bencana di negeri ini,”katanya.

Pengerusi pelaksana konsert, Datuk Freddie Sua berkata, konsert amal itu diadakan bertujuan mengumpul dana bagi disumbangkan kepada Persatuan Malim Gunung.

Katanya, semua hasil jualan tiket konsert itu akan disumbangkan kepada mangsa gempa bumi khususnya kepada malim gunung dan keluarga malim yang terkorban dalam bencana itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2015 @ 11:37 AM