Oleh Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersetuju dengan rayuan Terengganu apabila melanjutkan tempoh menjawab surat pertuduhan mengenai rusuhan penyokong pada aksi separuh akhir kedua Piala FA, kepada 7 Jun.

Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) yang menerima surat pertuduhan itu Khamis lalu diberi tempoh hingga hari ini untuk menjawab isu berkaitan insiden di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, 16 Mei lalu.

Penyerang import Paulo Rangel pula diberi tempoh seminggu selepas pemain itu pulang daripada bercuti di negaranya ke Terengganu, pada 13 Jun.

Setiausaha Agung PBSNT Arpin Draman berkata, pihaknya terpaksa membuat rayuan kepada badan induk itu kerana mengalami kesuntukan masa untuk menjawab surat pertuduhan berkenaan.

Menurutnya, pihaknya lega apabila FAM meluluskan permohonan berkenaan kerana membolehkan mereka melihat secara terperinci surat pertuduhan itu.

“Kalau diikutkan esok (hari ini) hari terakhir untuk kami membalas surat pertuduhan itu. Rangel pula bercuti di negaranya dan akan pulang ke Terengganu 13 Jun ini, maka dia hanya perlu menjawab surat berkenaan selepas tarikh itu,” katanya, semalam.

Jumaat lalu, akhbar ini melaporkan PBSNT dan Rangel menerima surat pertuduhan dan dikehendaki menjawab mengenai insiden kekecohan dan rusuhan separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, pada 16 Mei lalu.

Begitupun, PBSNT tidak mempunyai masa mencukupi untuk menyiapkan surat jawapan balas itu sehingga menyebabkan mereka terpaksa meminta tempoh lanjutan.

Arpin berkata, mereka akan meneliti secara terperinci dakwaan dikenakan terhadap PBSNT yang membabitkan kekecohan di dalam dan luar stadium.

“Kami akan memanfaatkan tempoh diberikan itu dengan mengadakan perbincangan bersama beberapa pihak yang boleh membantu dalam menjawab surat pertuduhan terbabit.

“Sebelum menjawab surat pertuduhan itu kami memerlukan ‘saksi’ dan akan memanggil beberapa individu dalam minggu ini bagi membantu kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2015 @ 8:30 AM