Oleh Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) diberi tempoh hingga Isnin ini bagi menjawab surat pertuduhan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai kekecohan dan rusuhan ketika aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 16 Mei lalu.

Setiausaha Agung PBSNT Arpin Draman berkata, pihaknya sudah menerima surat pertuduhan daripada badan induk itu semalam dan diberi tempoh hingga Isnin bagi menjawab berkaitan kekecohan itu.

PBSNT juga menerima surat pertuduhan ke atas penyerang Paulo Rangel dua hari lalu dan perlu menjawab dalam tempoh sama dengan persatuan.

“Kita mungkin membuat rayuan kepada FAM untuk melanjutkan sedikit masa memandangkan tempoh diberikan untuk menjawab pertuduhan terlalu singkat.

“Memandangkan di negeri ini tidak bekerja pada Jumaat dan Sabtu, kita hanya ada sehari iaitu Ahad ini untuk menjawab semua pertuduhan.

“Kita mahu mengemukakan jawapan kukuh dan kemungkinan memanggil beberapa individu termasuk pegawai serta pemain yang melihat jelas beberapa insiden itu untuk membalas pertuduhan yang diberikan FAM,” katanya.

Bagaimanapun, Arpin enggan mengulas lanjut berapa pertuduhan lain yang dikenakan terhadap persatuan itu.

Arpin berkata, pihaknya percaya Rangel juga berdepan masalah kesuntukan masa berikutan pemain kelahiran Belem, Brazil itu baru selesai mengharungi perlawanan persahabatan bersama Pilihan Malaysia menentang kelab EPL, Tottenham Hotspur di Stadium Shah Alam, kelmarin.

“Saya akan menjawab surat pertuduhan bagi pihak persatuan ini dan Rangel pula jawab bagi pihak dirinya sendiri. Saya percaya selepas menjawab surat pertuduhan ini, FAM akan memanggil untuk perbicaraan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2015 @ 12:04 PM