PEUGEOT 508 model terbaru. FOTO Erywan Norshal
PEUGEOT 508 model terbaru. FOTO Erywan Norshal
Oleh Erywan Norshal


Shah Alam: Nasim Sdn Bhd, pengedar kenderaan jenama Peugeot di Malaysia, melancarkan kereta segmen D terbaru menerusi Peugeot 508, hari ini.

Peugeot 508 ditawarkan tiga varian membabitkan THP dan SW THP yang menggunakan enjin petrol 1.6 liter turbo, manakala GT dipadankan rangkaian kuasa 2.2 turbo diesel.

Enjin petrol yang sudah lapan tahun berturut-turut memenangi anugerah antarabangsa itu menawarkan kuasa maksimum 165 PS dengan tork setinggi 240 Nm, selain mencatatkan purata penggunaan bahan api 7.1 liter bagi 100 kilometer (km).

Bagi enjin diesel, ia lebih jimat minyak dengan purata 5.7 liter bagi 100 kilometer yang menyalurkan 206 PS serta tork 450 Nm.

Ketiga-tiga varian itu dipadankan kotak gear enam kelajuan Tiptronic dengan pilihan Mod Sport, selain didatangkan lima pilihan warna.

Peugeot 508 THP, SW THP dan GT dijual pada harga anggaran masing-masing RM175,000, RM185,000 serta RM205,000.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2015 @ 11:21 AM