BANGUNAN Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan. FOTO Arkib NSTP
BANGUNAN Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Rang Undang-Undang Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 dibentang bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Rang undang-undang bagi meminda Seksyen 3 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998 (Akta 585) itu dibentang oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Menurut naskhah biru yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, rang undang-undang itu antara lain bertujuan meminda Seksyen 34 bagi memudahkan proses pelantikan peguam syarie tanpa perlu melafazkan wakalah di hadapan mahkamah atau pendaftar.

Dengan pindaan ini, pihak-pihak dan peguam syarienya itu tidak dikehendaki hadir di hadapan mahkamah atau pendaftar untuk melafazkan wakalah.

Selain itu, pindaan membabitkan Seksyen 100 untuk mengadakan peruntukan bagi penerimaan keterangan melalui teknologi komunikasi jarak jauh selain Seksyen 119 bagi memasukkan peruntukan nyata yang memberi mahkamah kuasa untuk membenarkan apa-apa prosiding didengar secara tertutup.

Mohd Na'im turut membentangkan Rang Undang-Undang Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 bagi bacaan kali pertama yang antara lain bertujuan memperkukuh aspek penguatkuasaan dan pentadbiran undang-undang Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Rang undang-undang itu bertujuan meminda Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) antaranya Seksyen 2 untuk memasukkan takrif baharu iaitu Baitulmal, Jawatankuasa Wakaf dan wakaf.

Pindaan turut membabitkan subseksyen 10(1) untuk menstruktur semula keanggotaan Majlis dengan memperuntuk Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia sebagai Timbalan Pengerusi Majlis, Ketua Pegawai Polis Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur atau wakilnya dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan sebagai antara anggota Majlis.

Mohd Na'im berkata bacaan kedua dan ketiga kedua-dua rang undang-undang dijadual dibentang pada mesyuarat yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 6:48 PM