HARGA yang kompetitif untuk Honda HR-V.
HARGA yang kompetitif untuk Honda HR-V.
FORD Mondeo.
FORD Mondeo.
 FORD Mustang.
FORD Mustang.
MITSUBISHI Triton.
MITSUBISHI Triton.
Oleh Erywan Norshal


Hari ini, sudah empat hari kita menyambut kehadiran 2015. Pastinya tahun ini juga industri automotif tempatan lebih kompetitif, di mana setiap pengeluar berlumba-lumba memperkenalkan model terbaru atau varian yang dipertingkatkan.

Bagi mereka yang mempunyai niat untuk membeli kereta baru, ruangan ini boleh membantu anda mengetahui 'khabar angin' kemunculan beberapa kenderaan yang bakal dilancarkan tahun ini.

Seperti kita tahu, industri automotif Thailand boleh dikatakan lebih cepat berbanding negara ini berikutan mereka mempunyai kilang pemasangan beberapa jenama global di sana.

Jadi, selepas kenderaan dilancarkan di negara gajah putih itu, pasti ia disusuli ke Malaysia.

Sebelum ini, 'heboh' di lawan sesawang kemunculan Mitsubishi Triton generasi terbaru yang dilancarkan di Thailand dan difahamkan ia akan dibawa masuk ke Malaysia, tahun ini. Bagi generasi terdahulu, ia bertahan hampir sembilan tahun sebelum model baru dilancarkan pada November tahun lalu.

Difahamkan, Mitsubishi Triton generasi terkini itu turut menggunakan enjin diesel turbo terbaru dengan kapasiti enjin 2.4 liter.

Bagi pasaran di negara berkenaan, enjin itu menyalurkan 181 kuasa kuda dengan tork setinggi 430 Nm dan dikatakan lebih menjimatkan minyak sehingga 20 peratus. Ia juga ditawarkan dengan dua transmisi berbeza iaitu lima kelajuan automatik dan enam kelajuan manual.

Beberapa pembaharuan boleh dilihat pada reka bentuk model berkenaan membabitkan perumah lampu depan dan belakang, selain ruang dalaman lebih selesa.

Untuk kategori kenderaan utiliti sukan (SUV) pula, Honda dikatakan akan membawa masuk HR-V, yang mana jentera itu adalah keluarga terbaru dalam kategori segmen B.

Boleh dikatakan ia 'adik' kepada Honda CR-V dan berkongsi platform dengan Honda Jazz, tetapi lebih panjang serta tinggi.

Jika di Thailand, SUV itu dilancarkan penghujung tahun lalu yang menggunakan enjin 1.8 liter seakan-akan Honda Civic 1.8 liter dengan menyalurkan 141 PS serta tork setinggi 172 Nm.

Selain itu, difahamkan jentera berkenaan akan dilancarkan suku pertama tahun ini dengan harga ditawarkan antara RM97,000 sehingga RM120,000.

Penghujung 2014, Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) membuka tempahan bagi model terbaru SUV, Nissan X-Trail yang dijangka dilancarkan awal tahun ini.

Nissan X-Trail baru itu menawarkan dua varian iaitu 2.5L 4WD dan 2.0L 2WD, masing-masing dijangka dijual pada harga di bawah RM170,000 dan RM150,000.

Jentera itu digabungkan Sistem Kawalan Pandu Aktif yang mengurangkan pergerakan kenderaan dirasai pemandu ketika melalui jalan tidak rata dengan mengawal kuasa tork enjin dan brek untuk meningkatkan keselesaan.

Ia juga dilengkapi Sistem Aktif Brek Enjin bagi mengubah suai kuasa brek enjin untuk membantu pemandu mengurangkan kelajuan apabila membelok atau memberhentikan kenderaan.

Jentera premium keluaran Jepun iaitu Lexus akan melancarkan model crossover menerusi NX yang akan bersaing beberapa model lain seperti Audi Q5, BMW X3 dan Range Rover Evoque.

Difahamkan, ia akan hadir dengan dua rangkaian kuasa 2.0 liter pengecas turbo yang menyalurkan 235 hp dan tork setinggi 350 Nm.

Ia juga menawarkan varian hibrid dengan kombinasi menggunakan enjin dan motor elektrik yang masing-masing menyalurkan 153 serta 141 hp.

Bagi jenama Ford pula, mereka tiada rahsia untuk berkongsi jentera yang akan dilancarkan tahun ini. Pengeluar kenderaan terkemuka itu akan membawa tiga masuk model terbaru menerusi Ford Everest, Mondeo dan model kereta 'muscle' iaitu Mustang.

Ford Everest generasi terbaru itu menggabungkan kemampuan laluan luar jalan terkini dengan padanan teknologi termaju seperti sistem pacuan empat roda pintar Ford untuk membantu pemandu menempuh pelbagai jenis laluan.

Ciri 'Terrain Management System' (TMS) yang canggih menawarkan empat talaan berbeza berupaya mengoptimumkan prestasi untuk pemanduan harian di atas jalan raya, laluan berpasir, salji dan jalan berbatu ekstrem.

Ia juga kemampuan mengharung air setinggi 0.8 meter (m) yang terbaik dalam kelasnya, jarak kelegaan tanah mencecah 0.225 m, keupayaan mengangkut beban sehingga 750 kilogram.

Kereta segmen D menerusi Ford Mondeo pula hadir dengan generasi terbaru yang sebelum ini dijual untuk pasaran United Kingdom dijangka dilancarkan suku pertama tahun ini.

Bagi pasaran di sana, ia ditawarkan dengan enjin 1.5 litre empat silinder EcoBoost, 1.0 litre EcoBoost dan 2.0 TDCi diesel twin-turbo.

Kehadiran Ford Mustang menjadi taruhan terhebat bagi jenama itu selepas kali pertama memperkenalkan jentera berkenaan bagi pemanduan sebelah kanan.

Jentera 'muscle' itu ditawarkan dengan dua jenis enjin membabit-kan 2.3 liter Ecoboost and 5.0 liter V8 yang pasti ditunggu-tunggu peminat kenderaan jenama Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, untuk melihat kenderaan ini mungkin lewat kerana ia akan dilancarkan pada suku terakhir tahun ini.

Bagi kenderaan kompak pula, Mazda 2 bakal menjengah pasaran tempatan tidak lama lagi dan ber-saing rapat dengan Honda Jazz.

Jentera yang menerima anugerah Kereta Tahunan Jepun pada Oktober tahun lalu itu dikuasai enjin 1.5 liter SkyActiv-G mampu menyalurkan 115 PS pada 6,000 rpm, manakala tork 148 Nm pada 4,000 dengan gabungan transmisi automatik SkyActiv-Drive.

Volkswagen pula akan mempertaruhkan Golf GTE iaitu sebuah jentera kategori plug-in hibrid yang memberi penjimatan bahan api mengagumkan. Ia dipertontonkan buat kali pertama pada peringkat global pada tahun lalu menggunakan enjin pengecas turbo ia­itu 1.4 TSI dan motor elektrik yang masing-masing menyalurkan kuasa maksimum 148 dan 101 hp.

Jentera berkenaan turut menggunakan kotak gear enam kelajuan DSG yang dicipta khas untuk jentera hibrid. Ia menggunakan 1.5 liter bagi 100 kilometer (km) dan mampu dipandu sehingga 939 km bagi setangki bahan api.

Biarpun jimat minyak, ia mampu dipandu sehingga 222 kilometer sejam (km/j) dan mencatat 7.5 saat untuk memecut antara 0-100 km/j.

Peugeot pula difahamkan membawa model terbaru iaitu 308 yang sebelum ini dinobatkan sebagai Kereta Eropah Tahunan 2014 pada Pameran Motor Geneva ke-84 awal Mac tahun lalu.

Generasi kedua Peugeot 308 bukan saja hadir dengan bentuk hatchback, malah ditawarkan varian sport wagon (SW).

Peugeot 308 secara langsung memberi saingan, terutama bagi model hatcback lain seperti Volks­wagen Golf dan Ford Focus.

Model itu ditawarkan dengan enjin terbaru iaitu PureTech Turbo dengan bersesaran kecil membabitkan petrol 1.2 liter, manakala diesel HDi mempunyai beberapa varian seperti 1.6 serta 2.0 liter. Namun, belum diketahui lagi enjin mana yang akan dibawa masuk ke negara ini.

Suku tahun ketiga 2015, Por-sche bakal melancarkan generasi kedua model 911 Carrera GTS dengan empat varian membabitkan kategori coupe dan cabriolet, yang mana masing-masing ditawarkan dengan sistem pacuan semua roda atau roda belakang.

Teknikal asasnya, jentera itu mampu menghasilkan kuasa maksimum sehingga 430 kuasa kuda yang memberi karakter terbaik dalam pengendalian dan prestasinya.

Ia digabungkan dengan pakej Sport Chrono dan sistem peredam aktif yang boleh mengurangkan ketinggian kereta sehingga 10 milimeter (mm).

Keistimewaan turut terserlah apabila model itu menggunakan transmisi Doppelkupplungsge triebe Porsche (PDK) yang mana kenderaan itu boleh dipandu melebihi 300 kilometer sejam (km/j) dan hanya mengambil empat saat untuk memecut dari tahap pegun sehingga 100 km/j.

Namun, harga rasmi bagi Porsche 911 Carrera GTS dan Porsche 911 Carrera 4 GTS yang akan tiba suku ketiga tahun depan belum didedahkan lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 January 2015 @ 5:01 AM