REKA bentuk dinamik dengan saiz badan besar dan panjang.
REKA bentuk dinamik dengan saiz badan besar dan panjang.
STERENG dan panel meter yang padat serta mudah dicapai.
STERENG dan panel meter yang padat serta mudah dicapai.
ENJIN 1.6 liter THP pengecas turbo tekanan tinggi.
ENJIN 1.6 liter THP pengecas turbo tekanan tinggi.
REKAAN lampu siang (DRL) dan perumah lampu depan LED yang jelas.
REKAAN lampu siang (DRL) dan perumah lampu depan LED yang jelas.

Memandu sebuah kereta sedan dan wagon tidak ba­nyak bezanya cuma ia bergantung kepada kehendak atau tujuan seseorang mahu memilikinya. Ini kerana jika di negara Eropah, kebanyakan mereka yang memiliki kenderaan jenis wagon ini adalah untuk membawa muatan lebih besar dan memerlukan ruang lebih luas seperti membawa papan luncur atau basikal.

Selain itu, ada yang menggunakannya untuk membawa haiwan kesayangan bersiar-siar tanpa perlu merosakkan fabrik atau kerusi saduran kulit di dalam kenderaan ini.

Bagaimanapun, terpulang kepada minat anda dan Nasim Sdn Bhd selaku pengedar kereta jenama Perancis memperkenalkan model wagon menerusi Peugeot 508 SW THP sebagai satu pilihan untuk memenuhi kehendak dan gaya hidup masa kini.

Jika diimbas kembali, Nasim pernah membawa masuk model station wagon (SW) pada 2012 menerusi model 508 SW GT berkuasa diesel dengan enjin berkapasiti 2.2 liter pada harga lebih RM200,000.

Namun, pada tahun ini, pengedar kenderaan itu memperkenalkan model petrol yang dijana enjin berkuasa 1.6 liter dibantu oleh pengecas turbo tekanan tinggi (THP) menjadikan pecutan kereta itu bertenaga seakan-akan enjin berkuasa 2.0 liter.

Menerusi bantuan THP, ia mampu menghamburkan kuasa sehingga 163 kuasa kuda (hp) pada 6,000 rpm dan tork mencecah 240 Nm antara 1,400 sehingga 4,250 rpm.

Tidak hairanlah, meskipun saiz badan­nya agak besar, model itu mampu mencapai kelajuan maksimum 220 kilometer (km) sejam dengan tahap penggunaan petrol yang dicatatkan pada spesifikasinya ialah 7.1 liter bagi setiap 100km. Dalam kelajuan tinggi, kedapan bunyi dan suspensinya berada dalam tahap maksimum bagi menawarkan keselesaan.

Malah, gandingan kotak gear automatik enam kelajuan dengan Tiptronic yang dibangunkan bersama AW Aisin memberikan tahap kecekapan penggunaan bahan api, selain keseronokan pemanduan.

Jika mahukan pengendalian lebih agresif, tekan sahaja butang S untuk mod Sport berhampiran kotak gear dan kawal gear secara manual dengan menggunakan pedal tangan di bahagian stereng untuk menukarnya sekali gus untuk memotong kenderaan lain.

Kuasa dibekalkan sangat agresif bagi sebuah kereta segmen D dan tukaran gear enam kelajuan turut dibantu oleh paparan digital pada panel meter utama atau meter kelajuan di atas papan pemuka.

Bagi model premium Peugeot ini, ruang kabinnya kemas dengan menggunakan material berkualiti iaitu bahagian tengah papan pemukanya mempunyai paparan sesentuh bersaiz tujuh inci berfungsi sebagai alat kawalan termasuk bagi audio.

Ia turut berfungsi sebagai paparan navigasi, sambungan telefon, konfigurasi kenderaan, multimedia, kamera undur, bantuan pemanduan dan sambungan digital termasuk Bluetooth serta USB.

Sistem audionya padanan 10 pembesar suara produk premium jenama JLB dengan subwoofer, pemproses bunyi Arkarmys 3D memberi bunyi mengagumkan.

Selain hadir dengan kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, lampu dan bilah pengilap cermin automatik, tempat duduk balutan kulit ‘upholstery’ juga boleh dilaras secara elektronik. Kehadiran bumbung panaromiknya menceriakan jika dibuka pada waktu malam dan boleh dilaras mengikut keselesaan.

Ciri lain yang membantu ketika pemanduan ialah sistem maklumat titik buta (BLISS) yang memberikan lampu amaran pada cermin sisi mengenai kehadiran kenderaan di sisi kanan atau kiri.

Model ini yang turut mendapat pengiktirafan EURONCAP lima bintang daripada aspek keselamatan turut dipadankan de­ngan enam beg udara keselamatan dan sistem amaran atau sensor di hadapan mahupun di setiap sisi kenderaan khususnya ketika memandu di laluan sempit.

Gaya reka bentuk luarannya elegan menerusi paparan jeriji baru berorientasikan menegak serta memaparkan logo singa di tengahnya berbanding model terdahulu yang diletakkan di atas bonet dan diserlahkan oleh lampu hadapan yang tertera tulisan Peugeot dengan teknologi LED selain digabungkan dalam lampu nyalaan siang (DRL) LED.

Bonet belakangnya pula boleh dibuka secara automatik dengan menekan butang pada kunci kawalan jauh dan ditutup dengan hanya menekan butang merah. Sekira­nya mahu bonet ini dibuka lebih tinggi, anda hanya perlu menekan sedikit kerana bukaan yang rendah kadangkala menyebabkan kepala anda terantuk sedikit.

Satu lagi ciri yang mungkin boleh diperbaiki ialah kamera undur yang tidak jelas ketika mengundurkan kenderaan ini pada waktu malam, namun sedikit sebanyak dibantu oleh pengesan disekelilingnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2015 @ 5:01 AM