Oleh Sudirman Mohd Tahir


Bukan saja menjadi inspirasi kepada kebanyakan penyanyi baru, kemunculan Hafiz Suip, 25, hari ini yang berbekalkan vokal mantap turut diminati penyanyi senior antaranya Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Rossa, Misha Omar dan Anuar Zain.

Melihatkan kepada deretan kejayaan yang diraih, ramai yang beranggapan juara program realiti Akademi Fantasia musim ketujuh ini bakal menggantikan Anuar Zain.

Lagu-lagu yang dipersembah tidak pernah gagal memanjat carta seterusnya bolos di acara berprestij seperti Anugerah Juara Lagu.

Lebih menarik, Hafiz pernah mencipta ‘hatrik’ apabila dinobatkan sebagai pemenang Vokal Terbaik selama tiga tahun berturut-turut selain menjulang Anugerah Juara Lagu Ke-26 menerusi lagu Awan Nano.

Justeru, ada yang beranggapan Hafiz antara penyanyi muda yang mendapat bayaran termahal di Malaysia.

Namun, ia dinafikan Hafiz yang mendakwa dia tidak tahu berapa harga yang diletakkan ke atasnya sejak menjadi artis naungan Astro.

Ada yang mendakwa bayaran untuk persembahan Hafiz selama setengah jam mencecah RM35,000.

Bagaimanapun, Hafiz mengakui jumlah itu pasti lebih tinggi. Namun, dia tetap enggan mendedahkan harganya yang sebenar.

“Apa yang saya tahu, ada pembahagian tertentu antara pihak mereka dan saya jika membabitkan mana-mana persembahan. Dapat saja gaji, saya akan terus masukkan dalam akaun bank,” katanya.

Dalam pada itu, hampir enam tahun menyanyi Hafiz boleh berbangga kerana sudah memiliki beberapa aset sendiri seperti rumah, dua kereta dan restoran yang baru dibuka tahun lalu.

Dugaan bertunang

Mengikat tali pertunangan bersama Nureffy Jasreel, 22, pada 27 Februari lalu membawa satu lagi fasa baru dalam hidup Hafiz.

Kini dia sudah bersedia untuk bergelar suami kepada wanita yang dicintai dan mereka bakal bernikah pada 14 Mei tahun depan.

“Dugaan memang ada terutama yang menguji tahap keimanan. Namun, pada saya itu normal dan dilalui oleh semua pasangan yang bertunang.

“Bagaimanapun, saya seorang yang berterus terang. Contohnya, jika ada wanita cantik lalu depan mata dan kebetulan keluar bersama tunang, saya takkan menipu untuk berkata tak cantik.

“Tunang pun faham sikap saya. Kadang-kadang dia pun bergurau dengan meminta saya pergi kepada wanita yang dipuji itu. Hal seperti itu tidak pernah simpan dalam hati pun. Lagi satu, bergaduh itu juga biasa. Sehingga ia dirasakan lebih teruk daripada bercinta dulu,” katanya.

Menjelang hari pernikahan yang juga sempena ulang tahun kelahiran tunangnya, Hafiz memaklumkan buat masa ini belum ada sebarang persiapan yang dibuat.

Sementara itu, penyanyi lagu Matahari ini tidak menolak penajaan yang datang namun perlu melihat bentuk tajaan berkenaan.

Alih suara watak Hiccup

Sedikit perkembangan terbarunya, Hafiz baru sahaja selesai menjalani sesi rakaman alih suara filem animasi How To Train Your Dragon 2.

Menerusi filem ini, Hafiz membawakan watak Hiccup.

“Ini bukan kali pertama saya membuat alih suara filem animasi. Sebelum ini saya terbabit dalam filem The Smurf dan Madagascar 3. Dalam filem ini saya membawakan watak Hiccup, budak yang gagap. Sedikit sebanyak ia mencabar saya. Nampak mudah, tapi sebenarnya tidak.

“Apabila hendak memulakan proses rakaman, memang sedikit susah kerana tidak tahu watak Hiccup tu macam mana. Selepas dipertontonkan banyak kali, barulah saya faham,” katanya.

Membabitkan beberapa pelakon lain seperti Sasha Saidin, Hafidzuddin Fadil, Prem dan Yuii Chin, filem animasi alih suara ke Bahasa Malaysia ini diterbitkan oleh Fox Inernational Channels Malaysia. Ia bakal ditayangkan pada hari raya pertama di saluran Astro 433 dan 413.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2015 @ 10:53 AM