IKUT nasihat doktor tidak boleh laku aktiviti lasak sehingga September depan.
IKUT nasihat doktor tidak boleh laku aktiviti lasak sehingga September depan.
Oleh Wahi Aziz


Meskipun mengalami masalah cakera teranjak (slipped disc) pada tulang belakang, Mohd Hafiz Mohd Suip, 25, kekal aktif dan lincah.

Ketika diajak berbual kecederaan yang dialami pada Mac lalu, penyanyi yang popular dengan lagu Matahari itu mengakui terpaksa membataskan pergerakannya dan lebih berhati-hati.

“Saya bukan boleh duduk diam, ada saja nak buat itu ini.

“Apabila doktor minta saya banyak berehat dan tidak boleh terlalu aktif, mati kutu jadinya. Namun, demi kesihatan jangka masa panjang, saya kena ikut nasihat itu,” katanya.

Juara program Akademi Fantasia musim ketujuh itu ditemui pada majlis tayangan perdana filem animasi, How to Train Your Dragon 2 versi alih suara Bahasa Malaysia di pawagam GSC Nu Sentral di ibu negara, Selasa lalu.

Tayangan itu disusuli majlis iftar bersama anak-anak dari Pertubuhan Rumah Amal Cahaya Tengku Ampuan Rahimah dan Rumah Titian Kaseh.

Sambung Hafiz, dia tidak boleh melakukan aktiviti lasak sehingga September depan dan perlu melengkapkan 40 sesi rawatan terapi fisio.

“Menurut doktor, ini peluang terakhir untuk saya sembuh sepenuhnya. Masalah ini sudah berlaku beberapa kali dan kali ini paling serius.

“Kalau langgar pantang, memang tidak ada lagi peluang untuk sembuh. Perkara ini merisaukan saya kerana andai tidak dirawat betul-betul boleh menyebabkan lumpuh,” katanya.

Pemenang tiga kali Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu itu turut memaklumkan bahagian kaki kirinya turut terjejas akibat masalah terbabit.

“Kaki kiri saya tidak sekuat dulu. Agak lemah dan akan kebas kalau bergerak aktif sangat.

“Jadi kena beringat, takut kemudian hari saya pula yang susah,” katanya yang bakal muncul dengan lagu duet bersama Misha Omar, Terimaku Seadanya Ogos ini.

Mengulas pembabitannya dalam projek alih suara filem How To Train Your Dragon 2, Hafiz berkata, pengalaman menyumbang suara untuk watak Hiccup secara tidak langsung menambah skil lakonannya.

“Saya meminjamkan suara untuk watak utama iaitu Hiccup dan ini pengalaman pertama menjayakan projek alih suara. Berbanding nyanyian atau berlakon biasa yang menggunakan banyak tenaga, kerja ini menuntut lebih skil lakonan.

“Suara kena seiring dengan mimik muka dan pergerakan Hiccup. Ia bukan mudah tetapi andai ada tawaran lagi selepas ini saya mahu,” katanya.

Selain Hafiz, versi alih bahasa itu turut menampilkan Hafizudin Fadzil sebagai Stoick, Yuii Chan (Valka), Sasha Saidin (Astrid) dan Prem Shanker (Gobber).

Filem animasi itu akan ditayangkan di saluran FOX Movies Premium dan FOX Movies Premium HD (Astro 413 dan 433) pada 18 Julai ini, jam 8.15 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2015 @ 4:51 AM