Depay (kiri) dan Van Gaal.
Depay (kiri) dan Van Gaal.

Apabila Memphis Depay memikirkan kembali pengalamannya ketika kanak-kanak bersama teman lelaki ibunya, “Saya boleh katakan ia satu penderaan,” katanya kepada Dutch TV suatu ketika dahulu.

Dia memberitahu tidak mahu menjelaskannya lebih lanjut.

“Saya lansung tidak simpati terhadap diri saya. Saya seorang yang kuat dan perkara seperti itu hanya akan membuat saya lebih kuat.”

Realitinya, zaman kanak-kanak yang mencabar membantu Depay menjadi seorang pemain hebat yang akhirnya melangkah ke Manchester United pada harga £30 juta (RM120.4 juta).

Bapa penyerang berusia 21 tahun itu hilang pada awal zaman kanak-kanaknya. Teman lelaki yang selalu menderanya juga hilang, selepas memenangi loteri.

Hari ini, pemain itu enggan meletakkan nama keluarga bapanya, Depay di jersinya dan berkata: “Dia tidak berhak, itu saja.”

Depay menghabiskan zaman awal kehidupan bersama ibunya di Moordrecht, sebuah pekan kecil di Belanda. Datuknya, Kees, membawa Depay yang ketika itu berusia 5 tahun ke kawasan benteng, menggalakkan cucunya bermain bola sepak.

Sewaktu Depay menunjuk ke langit selepas menjaringkan gol buat Belanda ke atas Australia di Piala Dunia, ia ditujukan buat Kees yang meninggal dunia pada 2009.

Sewaktu kanak-kanak Depay ( yang ketika itu dikenali sebagai Melvin) hanya mengenali bola sepak. Ada kalanya ibunya berlapar semata-mata untuk memenuhi permintaannya.

Pada usia 9 tahun, dia menyertai skuad remaja kelab profesional Sparta Rotterdam, namun tiga tahun kemudian dia menyertai PSV Eindhoven.

Sebagai seorang pemain, Depay mempunyai segala-galanya, keupayaan meng­gelecek bola, melakukan jaringan dan memiliki otot perut yang kental pada usia 12 tahun. Namun kelakuannya di padang sukar dikawal. Dia mengamuk di padang dan bergaduh dengan jurulatih. Dia juga seorang pelajar yang teruk, gagal menamatkan persekolahannya.

Bagaimanapun, sesuatu yang hebat menantinya selepas itu. Tanpa ayah dan sering bertelagah dengan ibunya, dia dibesarkan oleh sebuah kelab bola sepak profesional.

“Saya fikir bola sepak menjaga saya daripada menjadi liar,” katanya.

“Saya melakukan perkara yang tidak dibenarkan, lebih daripada sekadar nakal. Saya tidak mahu bercakap mengenainya.”

Akhirnya dia menghentikan perangai buruknya itu kerana, menurutnya, “Jika anda ditahan, akibatnya anda mungkin tidak dapat bermain bola sepak lagi.”

PSV yang terdesak mahu memanfaatkan pemain itu menggunakan khidmat jurulatih mental, Joost Leenders untuk membimbingnya. Pada mulanya, Depay tidak mempercayainya. Depay tidak mempercayai sesiapa pun.

Leenders akan bertanya, “Memphis, apakah kamu berfikir apa yang kamu lakukan?” Leenders masih membimbingnya hingga ke hari ini.

Jika orang lain mempunyai keluarga, Depay mempunyai barisan penasihat perofesional termasuk, pakar kewangan dan pemakanan. Secara mentalnya, dia sudah menjadi profesional sejak usia remaja.

Sebagai pemain yang mempunyai kemahiran menggelecek bola, dia memberitahu majalah Belanda, Elf bahawa dia mengkaji Arjen Robben: “Sewaktu menggelecek bola, dia boleh membuat bola berubah arah secara tiba-tiba. Hanya pemain yang mampu melakukannya, boleh memperdayakan lawan dengan baik.”

Namun berbanding Robben, dia masih kurang pe­ngalaman. Tempoh 173 minit di padang sewaktu Piala Dunia adalah satu-satunya peluang bermain di tahap terting­gi. (Sepanjang berada di PSV, kelab itu tidak pernah beraksi di Liga Juara-Juara. Dia menjaringkan gol ke atas Australia dan Chile sambil diperhatikan ibunya, itulah gol yang dijaringkannya sepanjang 15 kali bersama pasukan Belanda.

Aksinya di Brazil tidak konsisten, namun cukup untuk menarik kelab besar menghubungi ejennya. Ketika itu dia dibayar £450,000 (RM1.8 juta) di PSV, namun selepas Piala Dunia, dia memutuskan untuk ting­gal setahun lagi di Belanda (dengan gaji lebih tinggi).

PSV menganggap dia akan menjadi besar kepala sebaik pulang dari Brazil tetapi yang berlaku adalah sebaiknya. Pemain yang luar biasa tidak dapat banyak belajar dalam bola sepak remaja kerana tahapnya tidak cukup bagus. Sewaktu Piala Dunia dia memberitahu Volkskrant, “Saya mencapai tahap tertinggi. Baik dalam latihan dan perlawanan. Kini saya perlu memperbaiki tahap itu dan saya boleh melakukannya jauh lebih baik.

Dia mencapai tahap terbaiknya, PSV muncul sebagai penjaring terbanyak di Eredivisie dengan 22 gol. Kini dia bakal membuka lembaran baru, bersama Manchester United.

“Satu kelebihan buat Memphis apabila Van Gaal menjadi pengurusnya,” kata pemerhati bola sepak Belanda, Henk Spaan. Depay adalah pemain yang digemari Van Gaal, pemain muda dari Belanda yang pantas dan berminat untuk belajar.

Lagipun Van Gaal tahu apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan Depay. Bayaran perpindahan Depay boleh dianggap sederhana pada zaman sekarang dan diberi masa untuk membuktikan kemampuannya.

Dalam biografi terbaru mengenai Van Gaal yang ditulis oleh Hugo Borst, “O, Louis: In Search of Louis van Gaal” menyatakan bahawa sewaktu Piala Dunia, hubungan Van Gaal dan Depay bagaikan ayah dan anak. Menjelang perpindahan Memphis ke kelab itu, Borst menyatakan: “Penyatuan kembali dengan ‘bapanya’ bakal membawa rahmat.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2015 @ 12:53 PM