Oleh Dang Setia

Saya lelaki berusia 26 tahun dan jatuh cinta kepada wanita berusia 33 tahun. Saya jatuh cinta terhadap sikapnya yang sangat keibuan. Dia ibu tunggal yang mempunyai seorang anak dan kehilangan suami dalam kemalangan jalan raya. Mulanya saya simpati.

Lama-kelamaan saya ingin berkenalan dengannya. Saya sukakan sikapnya yang lemah-lembut dan prihatin. Saya pernah luahkan kepada rakan sekerja yang saya menyukai wanita terbabit. Mereka kemudian mengusik saya dengan wanita terbabit. Yang hairannya, saya selesa dan suka rakan sekerja menggandingkan kami.

Reaksi wanita terbabit juga menyenangkan dan walaupun tersipu-sipu malu, dia tidak melatah dengan usikan rakan sekerja. Saya suka pembawaan dirinya yang tenang, cuma tidak pasti dia sudi menerima jika saya ingin serius dengannya.

ERMAN, Petaling Jaya, Selangor

Dalam situasi ini, saudara perlu keberanian. Rasanya tidak salah mencuba daripada menunggu. Berdepan wanita itu serta berterus-terang mengenai niat baik saudara rasanya tidak salah. Namun perlu ingat, saudara perlu selidik terlebih dulu latar belakangnya, termasuk status terkini, supaya tidak dicop sebagai ‘pengacau’.

Teliti perkara berkaitan status, latar belakang mahupun sikap disenangi yang wanita berkenaan mahu dalam pasangannya. Selain itu saudara perlu bersikap realistik, termasuk tunjukkan daya usaha, kerana wanita itu menanggung anaknya.

Dalam sudut lain, saudara perlu mendapatkan kepastian keluarga saudara sama ada mereka dapat menerima wanita terbabit mahupun tidak. Sementara itu, cari kenalan rapat dengan wanita itu untuk mengumpul pendapat mengenai hasrat saudara ingin serius dengannya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mei 2015 @ 12:24 AM