Oleh Dang Setia

Saya mempunyai kekasih yang cepat melenting serta kerap memukul apabila dia tidak puas hati. Kadangkala hanya kerana masalah kecil seperti lewat tiba janji temu dan terlupa membalas mesejnya, pasti saya terima habuannya.

Dia tidak teragak-agak melepaskan kemarahan di depan orang. Saya sering 'tebal muka' apabila dia dengan sengaja memalukan saya di depan kawan.

Saya bersabar kerana sudah kenal kekasih terlalu lama. Tahun ini hubu-ngan kami menjangkau enam tahun dan keluarga masing-masing kenal antara satu sama lain.

Mengenang sikapnya cepat marah, saya tidak pasti mahu menjadikan dia ratu hidup saya. Saya penat kerana perlu berdepan masalah itu berulang kali apabila kami bergaduh.

Kalau hendak membalas, takut pula dikatakan lelaki 'baran' kerana mudah angkat tangan. Namun berdiam diri dan mahu menunjukkan contoh baik kepada kekasih, rasa macam 'dayus' pula.

Adakah saya dengan dia tidak serasi? Saya serba-salah memikirkan untuk memutuskan hubungan mengenangkan hubungan baik saya dengan keluarganya.

YON

Banting, Selangor.

Piawaian wanita sesuai dijadikan isteri sudah sedia disarankan Islam. Antaranya ialah wanita tahu menjaga kehormatan suami dan dirinya.

Dinilai segi karakter serta perlakuan kekasih, adakah si dia mampu memenuhi syarat terbabit? Oleh itu, hanya saudara selayaknya menilai kedudukan kekasih dalam senarai calon sesuai dijadikan pasangan hidup.

Cuma wujud dua kemungkinan. Sama ada saudara terus bertahan serta sabar mendidik dia supaya menjadi pasangan yang boleh membahagiakan saudara atau mencari pasangan baru yang dirasakan lebih baik.

Dalam situasi ini, apabila sampai tahap saudara diterima keluarganya sebagai ahli, sekali lagi perasaan 'terikat' menyebabkan saudara terperangkap di persimpangan dilema.

Pada Dang Setia, cubalah berterus terang mengenai perasaan putus asa saudara terhadap sikapnya. Lihat reaksi si dia mahu kekal egois atau sedia insaf mahu berubah. Baru saudara buat penilaian semasak-masaknya mengenai jodoh saudara dengannya.

Selain itu, lakukan solat 'istikharah' dan lakukan sunat taubat untuk memberi kelapangan terhadap saudara. Insya-Allah, saudara lebih rasional dalam membuat pilihan mengenai masa depan hubungan saudara dengannya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 November 2014 @ 2:25 AM