Kerjaya artis ini belum lagi sampai ke garisan penamat, namun jika nak diukur pada tahap populariti, memang ada penurunan.

Namun, jika nak dibandingkan dengan kemunculan artis baru yang ternyata hebat dan menjadi pujaan ramai, kedudukan artis itu sekarang memang agak ke belakang.

Namanya juga tidak lagi tercalon dalam mana-mana acara penganugerahan. Disebabkan itu artis ini mulai berperangai agak pelik, mungkin kerana mahukan perhatian daripada media. Tetapi sikap anehnya itu membuatkan ramai pihak mula menyampah dengannya.

Menurut rakan SS, dia yang seolah-olah mahu orang terus memberi perhatian terhadapnya membuat ‘peraturan’ sendiri yang menyusahkan mereka yang mahu bekerjasama dengannya.

Ceritanya, kalau ada media yang mahu mengadakan sesi fotografi dengannya, artis itu akan bertanya siapakah wartawan yang akan menemu bualnya dan sesi fotografi itu tidak boleh berlangsung lebih daripada dua jam.

Wow! Sudah tersangat diva artis itu. Peninglah PR yang menguruskan artis itu.

Bagi SS itu bukan caranya jika artis itu mahu meletakkan namanya semula di atas takhta dunia seni. Dengan sikap ‘demanding’ yang luar biasa itu akan membuatkan orang meluat dan terus menjauhkan diri daripadanya.

Ternyata artis itu sudah salah percaturan, sepatutnya dia permudahkan urusan mereka yang mahu memberi publisiti kepadanya.

Apabila SS amati sikapnya itu, barulah SS faham kenapa percintaannya pun asyik kecundang di tengah jalan. Siapalah yang mahu hidup dengan manusia aneh dan pelik macam artis itu?

SS: Menyampah dengan sikap sesetengah orang yang suka tunjuk lagak dan kuasa sesuka hatinya saja.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2015 @ 5:01 AM