Kuala Lumpur: Perlawanan menentang Korea Selatan memang sukar tetapi wajib menang ketika menentang India. Itulah pesanan Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menjelang aksi Piala Sudirman 2015 Dongguan bermula hari ini dan esok.

Menurut Norza, saingan Piala Sudirman perlu dilihat daripada sudut realistik terutama bertemu Korea Selatan (hari ini) kerana ia bukan lawan mudah berikutan keseimbangan yang dimiliki naib juara 2013 itu.

“Harapan kita sekarang ialah mengalahkan India Isnin ini (ssok) dan seterusnya mara ke suku akhir. Saya juga sudah memberitahu pengurus pasukan apabila ke suku akhir intai peluang untuk masuk separuh akhir pula. Bertemu India kita perlu menentang mereka habis-habisan,” katanya.

Ditanya apa harapannya terhadap Datuk Lee Chong Wei selaku perseorangan lelaki negara di kejohanan berkenaan, Norza berkata, ia tidak ada masalah buat bekas pemain nombor satu itu walaupun baru saja habis penggantungan.

“Ini adalah kejohanan sebenar yang pertama buatnya walaupun berada dalam proses penggantungan dia tidak pernah meninggalkan latihan dan mempunyai keupayaan dari segi kecergasan.

“Bagaimanapun, kita harus tetap realistik walaupun mempunyai Chong Wei kerana bertemu Korea Selatan sangat susah buat pasukan kita. Mereka mempunyai keseimbangan baik pemain lelaki mahupun wanita,” katanya.

Tambahnya, menjelang perlawanan bertemu Korea Selatan, walaupun nampak sukar tetapi pemain negara tidak harus berhenti mencuba dan segala-galanya bukan mustahil.

Sementara itu, Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost Hansen berkata, semuanya berjalan lancar di Dongguan termasuk persiapan pasukan dan bersedia untuk perlawanan pertama hari ini.

“Kami menjalani latihan di stadium berdekatan gelanggang utama dengan semua kemudahan tersedia rapi buat pemain. Malam ini (semalam) kita akan mengadakan mesyuarat menjelang perlawanan esok. Korea Selatan bukan mudah untuk dikalahkan kerana saya rasa pencapaian kita belum sama dengan mereka.

“Berdasarkan rekod lalu di Piala Sudirman, skuad kebangsaan serba lengkap ketika mempunyai pemain wanita seperti Wong Mew Choo (perseorangan wanita) dan Wong Pei Tty-Chin Eei Hui (beregu wanita),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2015 @ 9:43 AM