Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Tidak mahu pisang berbuah dua kali, pemain perseorangan negara Chong Wei Feng mengakui perlu melepasi pusingan kelayakan Siri Super Premier Terbuka Malaysia 2015 hujung bulan ini.

Sebelum ini, aksi Seluruh England menyaksikan tidak ada seorang pemain perseorangan lelaki dari Malaysia bermain di undian utama, termasuk Wei Feng yang terpaksa menarik diri pada saat akhir akibat kecederaan.

“Memang akan jadi satu tragedi jika tidak ada pemain perseorangan lelaki negara dalam undian utama di Terbuka Malaysia 2015. Saya perlu cuba sebaik mungkin untuk melayakkan diri,” katanya ketika ditemui semalam.

Wei Feng akan beraksi di pusingan kelayakan terlebih dulu bersama Liew Daren dan dua pemain bebas, Zulfadli Zulkiffli serta Mohd Arif Latif.

“Memang ada rasa tekanan, terutama beraksi di laman sendiri dan sebelum ini tidak pernah berlaku pemain perseorangan negara gagal berada di undian utama.

“Berdasarkan undian ada di antara kami berempat mendapat peluang cerah dan 50-50. Saya yakin mampu memenangi perlawanan kelayakan pertama bertemu Emil Holst (Denmark) tapi belum pasti untuk perlawanan kedua menentang pemain muda China, Xue Song,” katanya.

Ditanya sama ada, dia mampu mara ke undian utama, pemain kelahiran Sungai Petani itu berkata, walau apa cara sekali pun dia perlu mara.

“Kalau tidak boleh layak pun kena bagi boleh layak juga,” katanya yang sebelum ini dibelenggu masalah kecederaan pangkal paha.

Wei Feng berkata, kesakitan di bahagian paha semakin kurang namun dia perlu berhati-hati ketika beraksi di mana-mana kejohanan kerana baru sembuh.

Dalam masa yang sama, Wei Feng turut yakin Malaysia mampu untuk memperbaiki kedudukan ketika beraksi di Piala Sudirman 2015 Dongguan Mei ini.

“Kita akan menentang India dan Korea Selatan selepas diundi dalam Kumpulan D. Saya rasa peluang ada tetapi paling penting kena tunggu perbicaraan Datuk Lee Chong Wei dulu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2015 @ 7:31 AM