JING YI
JING YI

Kuala Lumpur: “Sukar tapi saya akan berusaha.” Itulah janji pemain perseorangan wanita negara Tee Jing Yi apabila bakal berdepan lawan yang berada pada ranking 10 terbaik dunia menjelang pertemuan dengan Korea Selatan dan India dalam saingan peringkat kumpulan Piala Sudirman 2015 Dongguan.

Jing Yi mengaku sukar bertemu perseorangan wanita Korea Selatan dan India, Sung Ji Hyun dan Saina Nehwal yang menduduki ranking kedua (Saina) dan kelapan (Ji Hyun) dunia.

“Saya akan cuba beri persembahan terbaik, siapa saja pemain disenaraikan dalam kejohanan berpasukan mahu menyumbang mata untuk negara, begitu juga saya walaupun bukannya mudah,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kelmarin.

Malaysia akan bertemu Korea Selatan pada aksi pembuka tirai aksi Kumpulan D Ahad ini, manakala perlawanan kedua pula menentang India Isnin depan.

“Saya sudah sembuh sepenuhnya dan harap semuanya berjalan lancar untuk aksi perseorangan wanita. Atas kertas memang nampak sukar tetapi azam saya membuak untuk menyumbang mata buat negara.

“Bertemu Ji Hyun dan Saina memang sukar, tetapi saya akan cuba mencari mata demi mata untuk kedua-dua aksi berkenaan,” kata pemain yang menduduki ranking ke-56 dunia itu.

Ditanya mengenai semangat luar biasanya ketika bergelut dengan kecederaan keretakan pinggul tetapi masih lagi mampu mewakili negara dalam beberapa kejohanan sebelum ini, Jing Yi berkata, dia sememangnya sentiasa bersemangat setiap kali menyarung jersi negara.

“Saya akan cuba beberapa tahun lagi untuk mewakili negara, tahun ini pula amat penting kerana mencari mata kelayakan ke Sukan Olimpik 2016 Rio serta beberapa kejohanan utama seperti Piala Sudirman, Kejohanan Dunia dan Sukan SEA 2015 Singapura.

“Semangat saya tidak akan pudar walaupun dibelenggu kecederaan. Saya juga semakin matang pada penyertaan ketiga di Piala Sudirman dan tahu apa yang perlu dilakukan,” kata pemain kelahiran Pulau Pinang itu.

Jing Yi mengakui pada aksi pertama (2011) dan kedua (2013) Piala Sudirman, dia gagal memberikan persembahan terbaik dan bertekad menebusnya pada penampilan kali ini.

“Di Qindao dan Kuala Lumpur mungkin saya sedikit tertekan dan kurang matang. Hasrat saya kali ini adalah memberikan yang terbaik termasuk melakukan kejutan bertemu Saina nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2015 @ 9:11 AM