Tiga kenderaan yang dirampas  polis.
Tiga kenderaan yang dirampas polis.
Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Shah Alam: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Selangor menumpaskan satu kumpulan samun yang aktif pada siang hari menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah seperti Toyota Estima dan Toyota Vellfire dengan penahanan lima lelaki baru-baru ini.

Kumpulan terbabit dikatakan menggunakan MPV mewah itu bagi mengaburi mata mangsa dan pihak berkuasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata, kelima-lima suspek berusia 23 hingga 53 tahun itu ditahan dalam beberapa siri serbuan di sekitar lembah Klang antara 28 Julai hingga 29 Ogos lalu.

“Semua suspek ditahan hasil risikan serta maklumat awam. Penahanan suspek membolehkan kami menyelesaikan sekurang-kurangnya 19 kes samun bersenjatakan parang yang dilaporkan sebelum ini.

“Kumpulan ini dipercayai aktif sejak 2013. Kami turut merampas rantai emas, telefon bimbit, wang tunai RM1,115, sebuah teksi, Toyota Camry dan Toyota Vellfire hasil penahanan suspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, semalam.

Mohd Adnan berkata, semakan juga mendapati dua kenderaan mewah yang dirampas daripada suspek bukan kenderaan curi dan siasatan sedang dijalankan bagi mengesan pemiliknya.

Menurut beliau, taktik digunakan suspek ialah meronda lokasi perumahan disasarkan sebelum menyerbu masuk ke rumah mangsa dengan bersenjatakan parang.

“Dua lagi suspek kes ini sedang diburu. Mereka dikenali sebagai Tan Kim Soon atau Ah Tie, berusia 33 tahun dan Ah Soon atau Peter. Maklumat berkaitan kedua-dua suspek ini boleh disalurkan dengan menghubungi Asisten Superintendan Gurdial Singh di talian 019-3652000 atau 03-6126222,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2015 @ 5:53 AM