JOHAN bersama pemenang tempat kedua, Shahrol dan pemenang tempat ketiga, Shuib.
JOHAN bersama pemenang tempat kedua, Shahrol dan pemenang tempat ketiga, Shuib.
Oleh Nor Akmar Samudin


Pertandingan akhir Super Spontan 2014 menyaksikan Johan menggondol gelaran juara sekali gus melayakkan dia menerima wang kemena­ngan RM100,000 dan sebuah kereta Toyota Camry 2.0.

Dengan kemenangan itu juga sebagaimana syarat yang dikenakan pihak produksi Vision Works (M)Sdn Bhd dan Astro Warna, dia tidak boleh lagi bertanding pada Super Spontan siri seterusnya untuk memberi peluang kepada wajah baru.

Super Spontan musim pertama dan kedua sudah pun menobatkan Zizan dan Jepp sebagai juara.

Seterusnya pada musim ini, naib juara menjadi milik Shahrol (RM50,000) dan tempat ketiga, Shuib (RM25,000). Manakala Achey, Pak Yus dan Taukeh pula masing-masing ­hanya mampu menduduki tangga keempat, kelima dan keenam.

Sekali lagi tahun ini, Super Spontan 2014 akhir diadakan di luar Kuala Lumpur iaitu di MITC, Melaka untuk memberi peluang peminat dan penonton di bandar raya bersejarah itu merasai sendiri kehangatan pertandingan akhir itu di tempat mereka sendiri.

Pertandingan separuh akhir diadakan di Kuantan, Pahang.

Pengurus Saluran Astro Warna, Rostam Said berkata, apabila ia dibuat di luar, sambutannya lebih menggalakkan kerana mereka jarang berpeluang berjumpa dan mendekati selebriti pujaan mereka.

"Tumpuan dan penghargaan yang diberikan mereka amat luar biasa. Ada yang apabila terjumpa saya mengucapkan terima kasih kerana membawa Super Spontan ke tempat mereka. Pertandingan akhir Super Spontan musim pertama diadakan di Kuala Lumpur dan musim kedua di Sungai Petani, Kedah.

"Apa pun jua, pemilihan lokasi pertandingan akhir Super Spontan bergantung kepada bajet. Apabila di buat di luar ibu kota, bukan saja ia memberi rasa yang cukup lain dan berbeza kepada peserta malahan kru penerbitan juga seperti disuntik semangat baru.

"Berikutan program itu mendapat sambutan yang amat baik, penerbitan Super Spontan musim keempat dalam perbincangan antara Astro Warna dan Vision Works, milik Afdlin Shauki," kata­nya.

Jelas Rostam lagi, dalam ketiga-tiga musim program itu, format sama dikekalkan cuma dari segi permainan ada sedikit perbezaan dengan menampilkan benda baru.

"Super Spontan diwujud­kan untuk mencari pelawak namun konsepnya tidak sama dengan Maharaja Lawak Mega kerana apabila peserta naik ke pentas baru mereka tahu permainan yang nak dimainkan. Mungkin ada yang biasa ­dengan permainan itu, tetapi ia dalam situasi yang berlainan dan memerlukan kecekapan.

"Dari segi pemilihan peserta, kami pilih berdasarkan populariti, kesesuaian, mestilah pelawak dan pelakon komedi. Pun begitu bukan semua pelawak boleh bertindak balas dengan pantas.

"Tiada uji bakat diadakan, tetapi semua peserta disenaraikan hasil perbinca­ngan Astro Warna dan Vision Works dengan mengadakan sesi 'brain storming'. Peserta yang dipilih tiada masalah untuk menyertai program ini cuma kebanyakannya terpaksa bergelut dengan jadual kerja lain kerana perlu memberi komitmen setiap minggu dengan Super Spontan.

"Ada juga pelakon biasa dibawa ke pentas Super Spontan sepertu Nad Zainal dan Dhira Abu Zahar. Bagaimanapun, mereka dijadikan 'subjek' kepada peserta untuk berta­nyakan makanan kegemaran mereka dan sebagainya yang kemudian segala maklumat itu akan digunakan untuk dijadikan serangkap lagu," katanya.

Melanjutkan perbualan, ujar Rostam, cabaran peserta Super Spontan mereka perlu pantas dan cekap dalam permainan kerana ­soalan diberikan ketika itu juga.

"Tahun ini kami ada pe­ngarah Michael Ang yang karakternya kelakar, namun apabila dalam Super Spontan, gayanya jadi lain," katanya.

Imbas keseluruhan Super Spontan 2014, ada 14 peserta yang dibahagikan kepada dua kumpulan.

Kumpulan Biawak Laser diuruskan Reza diwakili Shuib, Taukeh, Shahrol, Micheal Ang, Achey, Sharifah Sakinah dan Abam manakala Kumpulan Mawas Berduri diuruskan Rashid diwakili Pak Yus, Rahim, Fad, Didie Alias, Jihan Muse, Johan dan Syuk.

Pada setiap minggu di pusingan awal, kumpulan yang mendapat markah tertinggi menyumbang RM5,000 kepada pihak yang memerlukan. Undian SMS daripada ­penonton menentukan nasib kumpulan dan setiap ­kumpulan yang mendapat markah terendah terpaksa menyingkirkan salah seorang daripada ahli kumpulan mereka.

Seperti musim terdahulu, format pusingan akhir adalah berdasarkan undian individu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Oktober 2014 @ 5:01 AM