SUPER Spontan All Stars bakal bersiaran 28 Ogos ini.
SUPER Spontan All Stars bakal bersiaran 28 Ogos ini.
Oleh Michelle Gun


Pertandingan realiti bercorak permainan Super Spontan tahun lalu terbitan Astro Warna menyaksikan Johan dinobatkan sebagai juara.

Tahun ini, program komedi itu kembali menghangatkan malam hujung minggu penonton dengan menghimpun 14 bekas peserta Super Spontan musim lalu untuk merebut gelaran juara terunggul.

Diberi judul Super Spontan All Stars, program itu bakal bersiaran pada setiap Jumaat, jam 10 malam bermula 28 Ogos ini di Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Kali ini, permainan video popular Street Fighter diangkat sebagai tema Super Spontan All Stars yang akan berlangsung selama 10 minggu dari Studio Visual Three, Bukit Serdang, Selangor.

Buat kali pertama, pertandingan itu meletakkan Datuk AC Mizal sebagai pengacara manakala Reza Zainal dan Rashid Salleh terus menggalas tanggungjawab sebagai pengurus kumpulan.

Penyampai ERA FM, Ray dan Haniff yang pernah mengacara Super Spontan musim lalu pula diberi kepercayaan untuk mengulas persembahan peserta bersama Afdlin Shauki.

Bagi menyerikan lagi pertandingan, tagline popular Kipidap dan Dongibab digunakan sebagai nama kumpulan musim kali ini iaitu Kungfu Kipidap serta Silat Dongibab.

Ketua Pengisian dan Saluran Komedi Astro Bob Azrai berkata, penyiaran program realiti itu diteruskan pada tahun ini atas permintaan orang ramai.

“Program ini kembali segar dengan pengisian lebih mantap buat tahun penganjuran keempat dan menjangkakan persaingan lebih sengit,” katanya.

Menurutnya, Super Spontan All Stars memberi peluang kepada peserta untuk mengejar misi sama sambil beramal kerana hadiah kemenangan mingguan RM5,000 akan disalurkan kepada badan kebajikan.

“Menerusi konsep program sedemikian dapat menyerlahkan sikap keprihatinan dalam kalangan selebriti tanah air dalam usaha meringankan bebanan golongan yang memerlukan,” katanya.

Dalam pada itu, Afdlin berkata, segmen permainan berkisarkan situasi adalah berdasarkan idea penonton dan menggalakkan orang ramai menyalurkan idea mereka kepada Super Spontan All Stars.

“Penonton dialu-alukan untuk menghantar situasi permainan rekaan sendiri kepada kami. Usaha ini sebagai interaksi penonton dengan peserta,” katanya.

Juara Super Spontan All Stars akan membawa pulang hadiah wang tunai RM150,000 manakala naib juara serta pemenang tempat ketiga masing-masing akan memenangi RM75,000 dan RM50,000.

Pemenang tempat keempat, kelima dan keenam membawa pulang RM20,000, RM10,000 dan RM5,000.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2015 @ 10:13 AM