KUMPULAN Silat Dongibab.
KUMPULAN Silat Dongibab.
KUMPULAN Kungfu Kipidap yang kalah pada  minggu pertama didenda mencium ketiak Amir.
KUMPULAN Kungfu Kipidap yang kalah pada minggu pertama didenda mencium ketiak Amir.
PERMAINAN kali ini lebih gila dan kelakar.
PERMAINAN kali ini lebih gila dan kelakar.
Oleh Michelle Gun


Minggu kedua program Super Spontan All Stars yang berlangsung di Studio Visual Three, Bukit Serdang, Selangor, Jumaat lalu menyaksikan kumpulan Kungfu Kipidap diangkat sebagai pemenang dengan tiada penyingkiran peserta.

Kumpulan Kungfu Kipidap berjaya menewaskan kumpulan Silat Dongibab dengan markah 52 peratus, sekali gus memenangi RM5,000 yang disumbangkan kepada bekas atlet basikal kebangsaan, Halimah Mohd Jasni.

Sebelum ini, kumpulan itu yang dianggotai Reza Zainal selaku pengurus, Johan, Tauke, Shahrol Shiro, Rahim R2, Abam Bocey, Uqasha Senrose dan Nana Mahazan, tewas dengan peratus undian yang rendah di pentas minggu pertama.

Manakala Nana dipilih sebagai peserta yang layak terkeluar.

Bagaimanapun, kumpulan itu bangkit semula selepas berjaya memberi persembahan hebat dalam permainan Sketsa Berabjad, Beku, Pemberita Berkepala Tiga, Cerita Sampat Kecut dan Dikir Spontan.

Terdahulu, pentas Super Spontan All Stars kecoh seketika apabila pengulas iringan Amir Rajak Lawak atau Amirreka bertikam lidah dengan anggota Silat Dongibab Jihan Muse.

Ini berikutan Amir mempersoalkan persembahan Jihan yang dilihat hambar sehingga menyebabkan kumpulan itu tewas dalam beberapa permainan.

Tidak berpuas hati dengan soalan itu, Jihan bertindak merampas mikrofon Amir.

Mengulas prestasi persembahan peserta pada malam itu, Afdlin Shauki selaku pengulas bersama Ray dan Hanif berkata, permainan yang memerlukan fikiran dilihat lebih mencabarkan.

“Secara keseluruhan, peserta berjaya memberi prestasi baik pada persembahan minggu ini terutama dalam permainan fizikal. Namun, saya melihat peserta berdepan sedikit kesukaran ketika permainan yang memerlukan mereka berfikir,” katanya.

Menurutnya, penyingkiran peserta akan dilakukan pada minggu ketiga Super Spontan All Stars selain memperkenalkan elemen baru yang dipanggil sebagai ‘Called Immunity’.

“Saya berharap peserta akan memberi persembahan lebih baik minggu depan kerana program ini adalah persaingan yang memerlukan kecerdasan serta pemikiran di antara dua kumpulan,” katanya.

Sementara itu, Nana berasa lega tidak tersingkir minggu ini selepas dipilih sebagai peserta yang layak terkeluar pada persembahan minggu pertama.

“Sebelum program bermula, saya sangat gementar mengenang nasib yang bakal dihadapi nanti. Namun, saya gembira dan lega sebaik kumpulan Kungfu Kipidap diumumkan sebagai pemenang minggu kedua,” katanya.

Menurut Nana, permainan paling mencabar baginya adalah Dikir Spontan kerana memerlukan setiap peserta memikirkan ayat yang berirama.

“Semua peserta hebat kerana mereka pelawak berpengalaman namun saya tidak kisah dan mahu berseronok bermain bersama rakan seperjuangan di pentas,” katanya.

Jangan lupa menghantar undian di www.superspontanallstar.com.my untuk menentukan juara Super Spontan All Stars yang akan membawa pulang hadiah wang tunai RM150,000.

Super Spontan All Stars dihoskan Datuk AC Mizal bersiaran setiap Jumaat, jam 10 malam di Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2015 @ 10:27 AM