JOHAN.
JOHAN.
TAUKE dan Rahim.
TAUKE dan Rahim.
ZIZAN bersama Pak Yus dan Achey dalam kumpulan Silat Dongibab.
ZIZAN bersama Pak Yus dan Achey dalam kumpulan Silat Dongibab.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Siapa juara program Super Spontan All Stars bakal diketahui malam ini menerusi pertandingan akhir yang ditayangkan secara langsung dari Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7, Shah Alam di saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134) bermula jam 10 malam.

Bermula dengan 14 peserta membabitkan pelawak tanah air daripada tiga musim terdahulu, mereka dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan Kungfu Kipidap dan Silat Dongibab. Super Spontan All Stars Akhir juga turut disokong oleh ERA FM selaku radio rasmi dan Astro Gempak selaku portal hiburan paling spontan!

Penyingkiran peserta dibuat berdasarkan undian terendah membabitkan kumpulan berkenaan setiap minggu.

Selepas sembilan minggu bertarung, hanya enam pelawak berentap di peringkat akhir iaitu Johan, Tauke dan Rahim R2 daripada Kungfu Kipidap, manakala Zizan Razak, Pak Yus dan Achey Bochey mewakili Silat Dongibab.

Bagaimanapun, di pentas akhir program ini finalis dinilai berdasarkan persembahan individu.

Penerbitnya, Afdlin Shauki yang juga pengulas program itu berkata, dia menyifatkan finalis musim kali ini sangat sengit.

“Pentas akhir tahun ini mempertemukan dua bekas juara iaitu Johan dan Zizan. Kedua-duanya ada kelebihan tersendiri dan lawak mereka juga tak boleh dijangka. Siapa dapat memikat hati penonton, dialah bergelar juara,” katanya.

Mengekalkan konsep penjurian sama seperti musim terdahulu, pemenang ditentukan melalui undian penonton 100 peratus.

Bagi Johan, bergelar juara di Super Spontan musim ketiga bukan laluan mudah untuknya mengekalkan gelaran terbabit.

“Musim kali ini sesiapa saja boleh bergelar juara kerana peminat hari ini sudah bijak menilai. Jadi, saya tak nak terlalu fikirkan soal kemenangan. Kalau juara, itu adalah rezeki.

“Saya kenal siapa peminat-peminat saya, jadi tak mahu mereka berhabis. Apa saya inginkan ialah mereka menonton dengan sepenuh hati. Jika semuanya terhibur, itu adalah kepuasan untuk saya,” katanya.

Menurut Johan, jika bukan dia bergelar juara tentu saja pesaing terdekatnya iaitu Zizan.

“Setiap kali bertanding saya tak pernah letakkan sebarang sasaran atau harapan. Saya muncul di pentas dengan niat nak menghiburkan penonton.

“Nama pun spontan, jadi segala-galanya perlu berunsurkan komedi. Janji saya untuk peminat yang tak henti-henti memberi sokongan ialah memberikan persembahan terbaik,” katanya.

Tambah Johan, persaingan juga datang daripada Tauke dan Rahim R2 memandangkan mereka adalah pelawak berpengalaman dan punyai kreativiti di luar jangkaan.

Sebelum ini, Johan pernah meraih tempat kedua pada musim pertama dan kedua menerusi program sama.

Berbeza pula dengan Achey, dia mengakui bimbang berdepan dengan lima finalis lain.

“Memandangkan kali ini semuanya bintang lawak dan terkenal dengan lawak masing-masing, jadi saya tak menaruh harapan tinggi sebaliknya timbul pula kebimbangan dalam diri.

“Berada di pentas akhir ibarat satu bebanan untuk saya. Apatah lagi ini adalah undian peminat, jadi saya tak nak hampakan mereka,” katanya.

Achey yang juga pemenang tempat keempat musim lalu akur dengan populariti dimiliki Zizan sehingga membawanya ke pentas akhir.

“Apabila sampai ke tahap ini saya sudah bersyukur. Memang susah nak menang atau berada di kedudukan Top 3, jadi kalau boleh biarlah kekal nombor empat,” katanya.

Sementara itu, Tauke yang sebelum ini memenangi tempat keenam berkeinginan untuk menyandang gelaran juara.

“Sebagai peserta akhir, keinginan nak menang itu ada apatah lagi sebagai juara. Walaupun laluan itu agak sukar, tapi saya akan cuba sehabis baik.

“Penentuan di tangan penonton, jadi mereka yang akan menilai. Kalah atau menang, saya tak kisah sebab saya tahu kemampuan diri,” katanya.

Juara Super Spontan All Stars akan membawa pulang wang tunai berjumlah RM150,000, manakala naib juara dan pemenang tempat ketiga masing-masing bakal menerima RM75,000 dan RM50,000.

Sementara itu, pemenang tempat keempat, kelima dan keenam turut membawa pulang wang tunai sebanyak RM20,000, 10,000 dan RM5,000.

Along Cham tak kecewa

Dalam saingan separuh akhir minggu lalu, Along Cham daripada Kungfu Kipidap diumum sebagai peserta yang tersingkir.

“Setiap minggu saya bersedia berdepan situasi ini. Saya tak kecewa kerana setiap kali persembahan saya sudah memberikan yang terbaik.

“Apabila kumpulan saya mendapat undian terendah, saya sudah jangka nama saya akan diundi keluar,” katanya.

Penyingkiran Along itu mengulangi sejarah sama ketika dia menyertai Super Spontan musim kedua.

“Saya jangkakan juara di antara Johan atau Zizan manakala Tauke di tempat ketiga. Apabila berada di pentas akhir, apa saja kemungkinan boleh berlaku.

“Jangan terkejut jika peserta yang dianggap bukan pilihan seperti Rahim R2 dan Achey mempamerkan persembahan berkualiti,” katanya.

Tiket akan dijual di pintu masuk pada jam 5 petang. Maklumat lanjut di www.ticketcharge.com.my atau www.superspontanallstars.com.my

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2015 @ 10:49 AM