Mexico City: Seorang wanita menjadi hamba zaman moden apabila dirantai di leher oleh majikannya dan dipaksa bekerja lebih 12 jam setiap hari selama dua tahun.

Lebih kejam lagi, Zunduri, 22, hanya diberi makan sekali sehari dan dia terpaksa memakan plastik pembalut kerana terlalu lapar.

Wanita itu turut dipukul oleh keluarga majikannya pada setiap hari sehingga badannya penuh dengan kesan kecederaan dan luka.

Zunduri berkata, dia bekerja di sebuah kedai dobi di sini dua tahun lalu dan diberi sebuah bilik untuk dia tinggal di premis berkenaan.

Katanya, majikannya memukul dan merantainya selepas dituduh mencuri.

“Saya dirantai di leher dan dipaksa menggosok pakaian lebih 12 jam serta hanya diberi makan sekali setiap hari.

“Apabila terlalu lapar, saya kadangkala memakan plastik pembalut pakaian untuk mengisi perut saya yang kekosongan.

“Sekiranya saya berehat majikan saya dan keluarganya akan memukul saya dengan besi, seterika dan kayu,” katanya.

Ujarnya, dia berjaya melarikan diri dari premis itu selepas majikannya terlupa mengikat rantai di lehernya dengan kemas.

Susulan laporan wanita itu, polis menahan seorang lelaki, Jose de Jesus Sanchez Vera yang dipercayai majikan mangsa.

Polis juga menahan empat saudara wanita Sanchez Vera yang turut disyaki mendera mangsa. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2015 @ 8:14 AM