ARTIS grafiti tekun menyiapkan papan pamer disediakan.
ARTIS grafiti tekun menyiapkan papan pamer disediakan.
RIDHUAN bersama rakannya menunjukkan ilustrasi.
RIDHUAN bersama rakannya menunjukkan ilustrasi.
AKSI Arif dan Rudy Syahril bermain muzik didgeridoo.
AKSI Arif dan Rudy Syahril bermain muzik didgeridoo.
PENGUNJUNG meneliti hasil lukisan.
PENGUNJUNG meneliti hasil lukisan.
Oleh Nurul Husna Mahmud


Festival mega mengumpul pelbagai penggiat seni antara reputasi dimiliki Rantai Art Festival 2015. Julung kali diadakan di MATIC Lanai, Jalan Ampang, baru-baru ini, penganjuran kali ini mendapat sambutan lebih meriah berbanding tahun lalu.

Istimewanya dalam karnival berkenaan, seni ditampilkan bukanlah aliran biasa, sebaliknya ia aliran seni ‘terasing’ tapi mempunyai pengaruh besar kalangan belia.

Menurut Pengasas Rantai Art Festival 2015, Abdullah Hakim Alias, Rantai Art Festival 2015 lebih merupakan landasan buat mereka yang bergiat dalam kolektif seni.

“Kami menyediakan landasan mahupun medium buat penggiat seni indie seperti penulis novel indie, artis grafiti, pemuzik muda dan sesiapa saja tidak berada dalam kumpulan seni arus perdana.

“Penganjuran sudah masuk tahun kesembilan, kami lakukan pada skala lebih besar untuk meraikan penggiat, peminat mahupun mereka yang baru berjinak-jinak dengan aliran seni indie.

“Festival kali ini mendapat jumlah pengunjung melepasi 6,000 kerana lokasi tahun ini lebih luas serta fasiliti lebih baik iaitu tempat parkir kereta,” katanya.

Menyentuh sejauh mana keberkesanan program itu dalam mengetengahkan artis indie baik dalam tulisan mahupun persembahan, Abdullah berkata, festival seni penganjurannya mempu­nyai pengikut tersendiri.

“Kami dikenali menerusi laman sosial. Ramai dalam kalangan pengunjung mahupun peserta yang membuat persembahan ini memberi sokongan dengan memviralkan acara kami setiap kali ia diadakan.

“Hasilnya, kami mendapat kumpulan pengunjung besar sehingga sanggup mengambil risiko menganjurkan acara kali ini pada skala besar.

“Kami dimeriahkan dengan kehadiran kolektif seni seperti grafiti menerusi artisnya ‘Mile09’ serta usahawan sukarelawan seperti Biji-biji yang sangat kreatif menampilkan inovasi mereka.

“Penyertaan keseluruhan bagi tahun ini ialah 200 artis, 32 pemuzik dan 50 vendor memenuhi perkarangan MATIC Lanai selama dua hari ia berlangsung,” katanya.

Artis grafiti, Muhammad Fakhrul Akmal Shamsurrijal yang dikenali dengan nama ‘Mile09’ dalam kalangan peminat seni grafiti tempatan, menyifatkan festival berkenaan memberi impak positif pada mereka yang berkecimpung dalam seni jalanan.

“Ruang kami ketika ini untuk memperkenalkan produk atau hasil seni kami adalah terhad. Justeru dengan adanya festival seperti ini, kami dapat mengetengahkan karya kami selain membina hubungan baik dengan peminat mahupun bakal klien.

“Malah, pengunjung boleh tahu bagaimana cara kami bekerja dan mungkin persepsi terhadap kami sebelum ini yang selalunya digambarkan bersifat negatif berubah kepada menganggap kami juga antara cabang seni yang perlu dihargai.

“Di sini kami bebas berkarya. Harapan saya menerusi acara atau festival sebegini, kami boleh kembangkan cabang seni grafiti dan orang ramai mahupun agensi tertentu boleh faham dengan tafsiran seni kami tersendiri,” katanya.

Bagi pelukis ilustrasi, Muhammad Ridhuan Ahmad Rosdi, Rantai Art disifatkan penting untuk penggiat seni sepertinya serta rakan dari Art Garage mempunyai ruang berkarya.

“Meskipun ia festival seni biasa dianjur, impak program ini sangat kuat dalam kalangan penggiat mahupun peminat seni itu sendiri. Saya yang baru bergiat sepenuh masa dalam seni ilustrasi berasa festival ini membolehkan saya berinteraksi dengan klien.

“Saya dapat tahu secara langsung apa yang klien suka atau tidak kerana dengan adanya bazar kecil seperti ini mereka boleh terus menyatakan pendapat mengenai hasil kerja kami. Selain itu, kami dapat mendekati golongan baru mengenali cabang seni ini.

“Kami dapat juga berkongsi idea dengan vendor lain jauh berpengalaman dalam memasarkan hasil seni mereka. Pada saya, secara keseluruhan bazar seperti ini dilihat penting untuk membantu membina rangkaian dalam kerjaya seni kami,” katanya.

Kemeriahan karnival berkenaan turut didorong oleh kreativiti pemilik gerai dalam memasarkan barang serta produk masing-masing. Malah, ada antara terbuka mempamerkan koleksi peribadi ‘memaku’ perhatian pengunjung ada.

Antaranya pengasas jenama Brollock, Arif Baktiar. Dia bermain alat muzik etnik dari Australia, didgeridoo sementara menunggu kehadiran pengunjung melewati gerainya.

Katanya, dia bermain alat berkenaan sekadar mahu memeriahkan pengunjung selain berkongsi sesuatu yang baru dengan peminat muzik tempatan.

“Didgeridoo ini diperkenalkan rakan dan ia berasal dari Australia. Alat ini mengeluarkan bunyi seolah-olah dengungan berirama hasil rongga kayu.

“Disebabkan saya peminat muzik dan tertarik dengan bunyi unik dihasilkan alat ini, ada kalanya saya membuat persembahan dengan kumpulan muzik saya. Dalam karnival kali ini, saya cuma bermain untuk memeriahkan suasana perkarangan bazar kerana tidak ramai tahu mengenai alat muzik ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 April 2015 @ 5:09 AM