BARISAN penganjur dan kumpulan terbabit pada Sound Circus Festival.
BARISAN penganjur dan kumpulan terbabit pada Sound Circus Festival.
Sudirman Mohd Tahir


ACARA kemuncak Art of Speed Malaysia (AOSM) dibawakan NASTY yang dinantikan setiap tahun iaitu Sound Circus Festival, sebuah festival muzik yang menghimpunkan nama besar band 'underground' seperti Hujan bakal beraksi pada 2 dan 3 Julai depan bermula jam 4 petang hingga lewat malam di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps).

Pengarah Festival, Art of Speed Malaysia, Asep Ahmad Iskandar berkata, penganjuran AOSM setiap tahun berjaya menghimpunkan ramai penggiat serta peminat motosikal, pengubahsuaian automotif, dunia seni, pengkarya muzik dan pengumpul vintaj serta hobi peringkat dewasa dalam mahupun luar negara pada skala besar.

"Pada tahun ini, selain menyediakan platform buat penggiat dan peminat, AOSM juga akan menyambut ulang tahunnya yang ke-10 dengan menghidupkan kembali semangat dan minat pengunjung menerusi acara yang ditunggu-tunggu iaitu Sound Circus Festival.

"AOSM juga turut mendapat sokongan Tourism Malaysia di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) melalui Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 yang dilancarkan Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri dengan tema Cuti-Cuti Malaysia 2022 dalam usaha menyemarakkan pelancongan domestik," katanya.

Asep berkata, AOSM ditubuhkan dengan tujuan menyediakan ruangan bertaraf dunia buat peminat gaya hidup alternatif dan indie yang bukan dalam kalangan arus perdana.

"Pada 2017, Sound Circus Festival bermula sebagai sebuah gig kecil yang kemudian bertukar menjadi acara tumpuan sepanjang berlangsungnya pameran AOSM di Maeps.

"Kemudian, pada 2019, lokasinya diubah ke luar dewan utama bagi menampung pertambahan jumlah pengunjung seramai 5,000 orang," katanya.

Menariknya, AOSM pada tahun ini menyaksikan pembabitan jenama NASTY iaitu pengeluar produk Global ENDS sebagai penaja utama.

Pada kali ini, Sound Circus Festival akan menyediakan dua lokasi yang berbeza, di dalam dan luar dewan Maeps dengan membariskan nama hebat seperti Kumpulan Tangan Hitam, Late Night Frequency, Prasasti, Sweetass, King I & Balok People, Iqbal M, Sekumpulan Orang Gila, Hujan, Monotones, Budak Nakal Hujung Simpang, Kugiran Di Tepi Pantai, Akeem Jahat, Ical Mosh, Armpunk Sindicate, Jemson dan The Times.

"Pemilihan band adalah berdasarkan suara kolektif komuniti disenarai pendek pegawai AOSM dalam lingkungan usia 20-an dan 30-an yang peka dengan perkembangan muzik semasa.

"Mereka (artis atau band) dipilih berdasarkan trend lagu semasa, profil band, kesesuaian lagu dengan tema acara dan yang paling penting, cara penyampaian lagu semasa persembahan," katanya.

Sementara itu, mewakili kumpulan Hujan, Izzat Uzaini selaku pemain bass berkata, mereka bakal mempersembahkan 15 lagu.

"Ini pembabitan tahun ketiga Hujan bersama AOSM. Kali pertama kami 'perform' di pentas kecil, kini diberi ruang lebih besar di bahagian luar. Kami memang menyokong penuh festival ini.

"Persiapan. Kami tunggu masa untuk latihan sebab AG belum pulang dari United Kingdom. Daripada segi muzik, akan mulakan dalam masa terdekat. Produksi dan teknikal sudah mula. Untuk Hujan setiap persembahan nak buat yang berbeza.

"Kami membuat persembahan pada 2 Julai, jam 10 malam iaitu persembahan terakhir. Kami menyampaikan 15 lagu dalam tempoh sejam," katanya.

Tujuan utama AOSM menganjurkan Sound Circus Festival adalah untuk membina platform khusus bagi penggiat dan karyawan muzik untuk mempersembahkan hasil karya serta bakat mereka terutama buat artis atau band underground yang tidak berpeluang langsung untuk membuat persembahan di pentas utama dengan artis terkenal.

Tiket berharga RM90 laris terjual beberapa hari selepas Sound Circus Festival diuar-uarkan di media sosial. Sementara tiket yang masih ada adalah kombo berharga RM110 apabila pengunjung berpeluang melihat pameran AOSM di dalam dewan Maeps serta acara Sound Circus Festival.

Bagi yang ingin menyaksikan pameran dan persembahan dalam dewan sahaja, tiket berharga RM35 dan RM55 untuk kemasukan sejam awal masih dijual.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Jun 2022 @ 6:45 AM