SUASANA sekitar tempat pameran.
SUASANA sekitar tempat pameran.
SLOT melukis kasut bernama Vans.
SLOT melukis kasut bernama Vans.
GERAI kecil menampilkan penerbitan Penulisan Langit.
GERAI kecil menampilkan penerbitan Penulisan Langit.
PENTAS Rantai hangat dengan kehadiran kumpulan muzik buat persembahan.
PENTAS Rantai hangat dengan kehadiran kumpulan muzik buat persembahan.
TEKUN artis menyiapkan karya masing-masing.
TEKUN artis menyiapkan karya masing-masing.
Nurul Husna Mahmud

Rantai Art Festival (RAF) 2016 tidak pernah lokek menjalin hubungan dengan penggiat kolektif seni di bawah satu bumbung. Karnival yang berlangsung selama dua hari di IM4U Sentral Puchong, baru-baru ini berupaya melestarikan seni alternatif mahupun bebas agar mendapat perhatian umum.

Baik dalam cabang muzik, penulisan, persembahan mahupun lukisan, semua komuniti seni ‘tersisih’ ini berkumpul dalam memberi sokongan terhadap gagasan seni terbabit.

Menurut Pengasas Rantai Art Festival, Abdullah Hakim Alias, penggiat mahupun peminat seni senantiasa menantikan kehadiran festival kerana ini antara platform sesuai buat mereka.

“Seperti tahun-tahun sebelum ini, kita meraikan ‘kekayaan’ karya seni seperti penulis serta artis muda yang mahu mengembangkan karya mereka. Kami disokong rakan pelukis grafiti mempersembahkan lukisan mereka. Pesta ini juga dimeriahkan kehadiran penyanyi mahupun pemuzik ‘underground’ yang tampil menghangatkan pentas persembahan.

“Kami menjangkakan kehadiran lebih 5,000 pengunjung memeriahkan tapak RAF. Lebih istimewa tahun ini kami berkolaborasi bersama Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS).

“Hala tuju kami sealiran dengan hasrat yayasan berkenaan memperkasakan bakat serta potensi anak muda. Malah Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah sudi turun ke tapak festival memberi impak cukup penting dalam penganjuran RAF yang masuk tahun ke-10 bagi penganjuran kali ini,” katanya.

Penulis kolektif bebas, Suzana Ahmad lebih dikenali nama pena Sue Emoquin menyifatkan festival sebegini sangat penting bagi penulis baru berbakat.

“Saya dan rakan penerbitan bawah satu bumbung, Penulisan Langit melihat acara sebegini dapat membantu dalam memasarkan produk kami.

“Penerbitan ini masih baru dan ditubuhkan kira-kira tiga tahun lalu. Jadi kami perlu menggunakan pelbagai saluran untuk memperkenalkan kehadiran kami dalam genre penulisan.

“Justeru, RAF dilihat cara kami bertemu dengan pembaca serta peminat. Paling penting, dapat ‘input’ dalam meningkatkan skil serta mutu penulisan.

“Menggunakan ‘medium’ media sosial semata-mata tidak mencukupi untuk mempromosi karya serta bakat baru. Perlu juga turun padang serta bertemu rakan penulis lain membantu meningkatkan mutu karya,” katanya.

Menurutnya, dalam festival berkenaan, dia dan rakan membuat persembahan deklamasi puisi. Pertemuan empat mata dengan pengikut setia karya mereka juga dimanfaatkan sepanjang acara berlangsung.

Pelukis grafiti, Muhammad Abari Ahmad Shakri pula berkata, biarpun berdepan halangan kerana dua hari acara berlangsung dalam cuaca hujan, dia serta rakan tidak patah semangat menyiapkan karya masing-masing.

“Stesen kerja grafiti berlaku di zon terbuka menyebabkan kerja menyiapkan lukisan terhenti seketika kerana hujan. Kami hanya melakar pada awal pagi kemudian terhenti kira-kira tiga hingga empat jam kerana hujan lebat. Namun, pada penghujung festival kami berhasil menyiapkan lukisan.

“Dalam acara ini, bukan bayaran menjadi ukuran. Sebaliknya kedatangan saya bersama komuniti artis sebagai tanda sokongan kepada produk serta bakat lokal.

“Menerusi acara ini juga kami berharap dipertemukan dengan klien atau organisasi malah sesiapa sekalipun yang menagih sentuhan artis grafiti,” katanya yang menampilkan ‘signature’ orang mengenakan kompo sebagai identiti karyanya.

Selain penggiat kreatif, ada peniaga tempatan berusaha memperkenalkan produk mereka dalam festival berkenaan. Hampir 20 peniaga kecil memasarkan produk masing-masing terutama aksesori, pakaian dan produk penjagaan diri.

Buat peniaga produk Dye, Amrizal Mokhtar, bazar dalam festival itu memberi peluang kepada mereka yang berminat supaya dapat melihat secara dekat produk ditawarkan.

“Kesempatan berada dalam festival ini dilihat peluang buat saya. Produk saya juga bersesuaian dengan tema seni kreatif festival terbabit kerana menampilkan seni dye.

“Sebenarnya momen aktiviti seni di bangku sekolah dihidup serta dikomersialkan semula menerusi seni celupan terbabit. Siapa sangka

ikatan dan lipatan fabrik kemudian dicelup dalam pewarna kain boleh menghasilkan corak unik,” katanya yang lebih dikenali sebagai Tok Janggut dalam kalangan rakan.

“Kewujudan bazar dalam festival sebegini dilihat membantu usahawan lokal seperti saya mencari tempat untuk mengetengahkan produk sendiri. Dalam pada itu, pengunjung yang kebanyakannya dalam kalangan belia adalah prospek pelanggan berpotensi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 January 2017 @ 5:03 AM