ANTARA kereta unik yang dipamerkan.
ANTARA kereta unik yang dipamerkan.
MOTOSIKAL khas yang dipamerkan.
MOTOSIKAL khas yang dipamerkan.
PENGUNJUNG cilik seronok datang ke Art of Speed.
PENGUNJUNG cilik seronok datang ke Art of Speed.
 PENGANJUR seronok membabitkan diri dalam aktiviti menarik.
PENGANJUR seronok membabitkan diri dalam aktiviti menarik.

Acara mengumpul anak muda untuk berkongsi minat yang sama memang menyeronokkan, apatah lagi ia memberi pelbagai idea dan inisiatif untuk mengembangkan minat. Basyar Mustapha menghadiri Art of Speed 2015 yang berlangsung di Serdang, Selangor, baru-baru ini.

Bahang acara Art of Speed kembali hangat dan memberi keterujaan kepada peminat dunia klasik, ‘OlSkool’ dan seni permotoran kustom Malaysia, baru-baru ini.

Berlangsung selama dua hari di Malaysia Agro Exposition Park, acara ini dibanjiri dengan kehadiran lebih 47,000 pengunjung yang rata-ratanya anak muda.

Dengan semakin bertambahnya peminat automotif, pengumpul alat mainan, peminat muzik, pengamal subbudaya, seni dan fesyen, acara ini relevan untuk mengembangkan minat berfaedah anak muda selain menjadikan Malaysia sebagai hab untuk budaya positif ini.

Dianjurkan buat kali keempat tahun ini, acara tempatan itu memperkenalkan budaya ‘OlSkool’ dan ‘Kustom Kulture’ di Malaysia.

Acara ini dianjurkan oleh Initium Sdn Bhd dengan sokongan Tourism Malaysia dan Fast Bikes Sdn Bhd iaitu penaja motosikal rasmi.

Tahun ini Art Of Speed memperkenalkan Pertandingan Motosikal Binaan Khas Triumph AOS yang pertama kali seumpamanya diadakan di negara ini dan disiarkan televisyen.

Pembina khas daripada Eastern Bobber berasal dari Kajang, Omar Jumiran dinobatkan sebagai juara Pertandingan Motosikal Binaan Khas Triumph AOS.

Omar memenangi kontrak setahun sebagai pembina khas rasmi Fast Bikes Sdn Bhd iaitu pengedar eksklusif motosikal Triumph di Malaysia, trofi dan pendedahan umum.

Pembina khas motosikal yang lain adalah Ahmad Junaidi Abd Aziz daripada Hungry Ghost Customs Inc, Sallehudin Hamzah daripada Awesome Works Engineering dan Hazuar Hassan daripada Big Cat Motor Art.

Pengunjung bertuah, Anis Sabrina Mohd Sabaruldin dari Kuala Lumpur memenangi cabutan bertuah dan membawa pulang sebuah motosikal binaan khas Triumph. Anis memilih motosikal binaan khas dibina oleh Big Cat Motor Art.

Penganjur Art of Speed, Asep Ahmad Iskandar berkata, peserta pertandingan bukan saja berpeluang memenangi gelaran juara, tetapi pembina khas dipilih mendapat penghormatan menyertai pertandingan seumpamanya pada masa depan.

“Art of Speed 2015 juga menjadi platform serantau bagi peminat seluruh rantau ini untuk mengumpul dan bertemu ikon dari luar Asia Tenggara.

“Ia diharap dapat memberi inspirasi kepada penggiat seni permotoran kreatif dan memberi mereka peluang dalam usaha memasarkan produk kreatif tempatan ke pasaran antarabangsa.

“Kami berbesar hati kerana Art of Speed tahun ini disokong penuh oleh Kementerian Pelancongan Malaysia,” katanya.

Katanya, laman web automotif antarabangsa Speed­hunters.com turut menyenaraikan Art of Speed 2014 sebagai acara utama dalam kalendar festival permotoran.

Ikon antarabangsa dalam industri ini dari Amerika Syarikat dan Jepun turut turun padang berkongsi minat dan idea dengan penggiat tempatan.

Tiga kenderaan khas dari negara matahari terbit itu juga dipamerkan.

Pengunjung dapat menyaksikan hasil karya pembina khas motosikal yang memenangi beberapa anugerah antarabangsa.

Kenderaan itu ialah Nash Wagon, sebuah motosikal Harley-Davidson dan sebuah motosikal Triumph.

Satu tarikan infrastruktur paling menarik tahun ini di Art of Speed 2015 adalah dua trek berwarna jingga dibina oleh Hotwheels.

Dua kenderaan yang memenangi anugerah dalam acara Art of Speed pula dipamerkan di trek skala besar untuk tontonan peminat automotif dan pengunjung.

Antara tarikan lain di acara ini adalah pameran barangan vintaj dan seluar jean oleh PintuMerah dan Tempatan Fest yang pada masa sama mempromosikan lebih 200 jenama tempatan.

Pemenang Best of Show dalam pertandingan Show and Shine dalam kategori kereta dan motosikal memenangi pakej percutian dan akan dibawa hadir ke acara Mooneyes Yokohama Hotrod and Custom Show, Jepun pada Disember nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2015 @ 11:48 AM