Anggota polis membuat pemeriksaan di tempat kejadian. FOTO Faiz Anuar
Anggota polis membuat pemeriksaan di tempat kejadian. FOTO Faiz Anuar
Oleh Ayusliza Azizan

Klang: Empat suspek kes samun kereta ditahan polis manakala seorang lagi melarikan diri dalam kejadian di Jalan Dagang 7, Taman Seri Sentosa di sini pagi tadi.

Kejadian berlaku pada 6.40 pagi apabila anggota polis peronda menahan sebuah kenderaan Toyota Estima yang dinaiki suspek disyaki kereta curi.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, suspek bertindak ganas apabila merempuh kenderaan polis sehingga seorang anggota polis cedera.

"Sehubungan itu, polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan untuk mempertahankan diri, seorang daripada yang ditahan mengalami kecederaan dan seorang lagi yang melarikan diri turut mengalami kecederaan.

"Semua suspek yang ditahan berusia 21 hingga 26 tahun dan dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2015 @ 1:02 PM