Foto hiasan
Foto hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Sebuah kenderaan dinaiki seorang lelaki dan wanita hampir melanggar anggota polis ketika nekad melarikan diri daripada pemeriksaan di Jalan Gurney di sini, kelmarin.

Dalam kejadian pada 4.45 petang itu, pada mulanya lelaki berusia 26 tahun yang memandu pacuan empat roda bersama wanita berusia 24 tahun dikesan dalam keadaan mencurigakan sebelum diarahkan berhenti untuk pemeriksaan oleh sepasukan anggota polis.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, pihaknya cuba menahan mereka namun kenderaan itu memecut ke arah Jalan Tun Razak sebelum terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

Menurutnya, anggota polis menuju ke arah kenderaan terbabit tetapi suspek cuba melanggarnya dan menyebabkannya terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah tayar belakang kenderaan itu bagi memberhentikannya.

"Bagaimanapun, suspek memandu secara melulu ke arah pusat bandar sebelum cuba melanggar anggota polis trafik yang datang membantu pasukan sedia ada.

"Dalam perjalanan itu, suspek turut melanggar beberapa buah kenderaan sebelum ditahan di hadapan Lot 10, Bukit Bintang akibat terperangkap dalam kesesakan lalu lintas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rajab berkata, hasil siasatan mendapati kedua-duanya cuba melarikan diri daripada ditahan polis susulan berada dalam pengaruh dadah.

"Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati mereka positif syabu dan ganja.

"Pemeriksaan dalam kereta menemui satu buku lima dan semakan lanjut mendapati lelaki berkenaan mempunyai 10 rekod lampau berkaitan dadah, pecah rumah dan curi.

"Kedua-dua suspek kini direman selama lima hari sehingga 29 Disember ini untuk siasatan lanjut," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 akta yang sama, Seksyen 45(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan serta Senjata Berbahaya 1958 bagi kesalahan memiliki buku lima besi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Disember 2020 @ 10:41 AM