BUDI  Gunawan
BUDI Gunawan

Jakarta: Majlis pelantikan Budi Gunawan sebagai Timbalan Ketua Polis (TKP) Indonesia yang baru dijalankan secara sederhana semalam walaupun pelantikannya dikritik kerana didakwa terbabit dalam skandal rasuah.

Jurucakap polis Indonesia, Anton Charliyan berkata, pihaknya tidak merahsiakan majlis itu tetapi ia berlangsung secara tertutup.

Ketua Polis Indonesia, Badrodin Haiti kelmarin berkata, lapan anggota jawatankuasa polis sebulat suara melantik Budi sebagai timbalannya.

Katanya, beliau sudah menghantar surat kepada Istana Negara bagi memaklumkan kepada Presiden Joko Widodo (Jokowi) mengenai keputusan berkenaan.

“Jawatankuasa berpendapat itu adalah keputusan yang terbaik,” ujarnya.

Sementara itu, Badrodin menolak andaian beberapa pihak bahawa pelantikan Budi itu akan mencetuskan krisis kepimpinan.

“Itu tidak akan berlaku. Saya ketua dan saya seorang yang akan memberi arahan dan semua anggota akan mengikut arahan yang diberikan,” katanya.

Budi adalah pilihan pertama Jokowi untuk jawatan berkenaan tetapi ditukar kerana mendapat bantahan pelbagai pihak selepas Suruhanjaya Pembasmi Rasuah (KPK) menamakan beliau sebagai suspek rasuah.

Mahkamah kemudiannya memutuskan secara teknikalnya KPK melangkaui kuasanya apabila menamakan Budi sebagai suspek.

Sejak itu kes berkenaan diserahkan kepada jabatan siasatan jenayah, polis Indonesia untuk siasatan lanjut.

Badrodin semalam juga enggan mengulas mengenai siasatan terhadap Budi itu.

“Mengenai perkara itu anda sepatutnya bertanya kepada unit detektif,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2015 @ 7:48 AM