SYED Saleh (dua dari kiri) bersama timbalannya, Mohamed Heikal Mohamed Yusuff (kiri sekali) dan wakil-wakil dari syarikat Masyariq menunjukkan contoh bungkusan MRE. FOTO Husain Jahit
SYED Saleh (dua dari kiri) bersama timbalannya, Mohamed Heikal Mohamed Yusuff (kiri sekali) dan wakil-wakil dari syarikat Masyariq menunjukkan contoh bungkusan MRE. FOTO Husain Jahit
Husain Jahit


Makkah: Lembaga Tabung Haji (TH) menambah baik sistem pengurusan makanan jemaah haji tahun ini dengan menyediakan produk makanan sedia dimakan (MRE) untuk 31,600 jemaah haji Malaysia pada hari kemuncak ibadah haji di Masyair nanti.

Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, langkah itu dilaksanakan bagi membolehkan makanan yang diedarkan kepada jemaah di semua maktab mempunyai rasa yang seragam.

"Ketika di Masyair nanti kita akan sediakan 16 sajian. Pihak Tabung Haji berbincang dengan pengurusan syarikat Mashariq berkenaan menu iaitu sembilan daripada 16 sajian ini akan disediakan secara MRE, manakala tujuh lagi sajian akan dimasak di dapur semasa di perkhemahan Arafah dan Mina," katanya kepada Petugas Media TH selepas melakukan lawatan ke stor MRE, di sini, kelmarin.

Pemberian makanan MRE itu juga membolehkan jemaah menikmati makanan lebih baik dalam kekangan masa dan kekurangan keperluan pada tahap kebersihan tertinggi.

Kata Syed Saleh, pelbagai menu yang lebih menarik dijamin dapat memenuhi cita rasa jemaah haji Malaysia serta kualiti penyediaan makanan yang lebih tinggi.

Untuk musim haji kali ini katanya, sebanyak 236,000 pek produk MRE termasuk nasi lemak dengan sambal ikan bilis dan kacang, nasi goreng ayam, ayam masak lemak, ayam masak merah serta daging masak kicap untuk menjadi hidangan tengah hari dan malam jemaah haji sepanjang berada di Masyair.

Selepas pelaksanaan projek rintis lima tahun lalu, produk makanan MRE dilihat lebih bersesuaian, bermula pada 2018 dan 2019 dengan hanya satu menu sebelum ditambah kepada tiga menu pada 2022 dan tahun ini, sembilan menu MRE.

"Selain mempunyai rasa yang seragam, ia juga menjimatkan masa kerana dapat disediakan lebih awal, penggunaan bahan mentah yang terkawal dan yang penting tukang masak kita mempunyai masa untuk melakukan amal dan ibadah dengan lebih selesa, di samping mengurangkan risiko kebakaran," katanya lagi.

Bagaimanapun, produk MRE ini harus melalui pemeriksaan yang lebih ketat beberapa agensi tempatan termasuk Agensi Makanan dan Dadah Arab Saudi.

Oleh itu, persiapannya mestilah dilakukan lebih awal oleh syarikat Masyariq yang mana mereka sudah melantik dua syarikat masing-masing satu dari Malaysia dan Thailand untuk tujuan pembekalan MRE ini.

Menurut Syed Saleh, pemilihan dua syarikat itu dibuat ialah bagi mengelakkan kemungkinan masalah bekalan pada masa hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 7:51 AM