Agensi

Jakarta: Agensi antirasuah Indonesia menamakan calon ketua polis negara itu sebagai suspek dalam siasatan mereka, semalam.

Ketua Komisi Pembanterasan Korupsi (KPK), Abraham Samad berkata, Budi Gunawan menjadi suspek dalam siasatan mengenai pembinaan bangunan akademi polis.

Budi ketika itu berkhidmat sebagai ketua unit berkenaan.

“Penyiasat KPK mengkaji bukti yang ada sejak Julai tahun lalu dan kami menemui beberapa transaksi kewangan meragukan membabitkan Budi,” katanya kepada media.

Pelantikan Budi menjadi kontroversi apabila namanya sebelum ini disebut-sebut disyaki terbabit dalam salah laku ketika bertugas.

Walaupun dicalonkan Presiden Jokowi sendiri, kekayaannya menjadi pertikaian banyak pihak, terutama daripada kumpulan pemantau rasuah.

Pada 2010, Pusat Aduan dan Analisis Transaksi Kewangan (PPATK) menerbitkan laporan mengenai beberapa pegawai tinggi polis Indonesia yang meragukan kerana memiliki kekayaan di luar kemampuan.

Seorang daripada mereka ialah Budi.

Sabtu lalu jurucakap polis, Ronny F Sompie berkata, Budi sudah dibersihkan hasil siasatan dalaman agensi terbabit.

Namun semalam KPK mengesahkan Budi sedang disiasat dalam kes salah guna kuasa.

Malah Abraham mengakui, siasatan itu dibuat ekoran keadaan akaun Budi yang diragui.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 January 2015 @ 6:47 AM