badrodin
badrodin
Agensi

Jakarta: Ketua Polis Indonesia Badrodin Haiti semalam menawarkan hadiah wang tunai berjumlah Rp1 juta (RM290) kepada sesiapa yang dapat membuktikan dakwaan pembabitan rasuah dalam pemilihan anggota polis negara itu.

Dia menawarkan demikian selepas tersebar laporan kononnya ada pihak yang merasuah jawatankuasa pemilihan untuk membolehkan mereka dipilih menyertai pasukan keselamatan itu.

“Tidak ada. Tidak benar. Jika sesiapa dapat membuktikan ada pembabitan rasuah, saya akan hadiahkan kepadanya Rp1 juta,” katanya.

Menurut Badrodin, pemilihan calon polis dilakukan dengan ketat. Polis turut meminta Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) meninjau proses pemilihan.

“Proses pemilihan adalah paling bersih dan telus. Hasilnya, hanya orang berkelayakan yang terpilih menjadi polis,” kata Badrodin.

Bagaimanapun, dia mengaku memang ada pelanggaran peraturan dalam proses pemilihan itu, tetapi ia dapat diatasi serta-merta.

“Sebaik terima laporan, kami akan memeriksanya. Bagaimanapun, kebanyakan laporan yang diterima itu palsu. Hanya sedikit saja yang terbukti,” kata ketua polis itu.

Badrodin mengaku ada dalam kalangan pemohon berniat negatif untuk menjadi polis.

“Kerana itu, proses pemilihan rekrut kami jalankan dengan serius. Kami mahu orang yang berkualiti menyertai pasukan kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2015 @ 10:00 AM