EUGENIE enggan bersalaman dengan Alexandra ketika majlis undian Piala Fed
EUGENIE enggan bersalaman dengan Alexandra ketika majlis undian Piala Fed
BUKAN sahaja tewas, Eugenie turut diejek lawan.
BUKAN sahaja tewas, Eugenie turut diejek lawan.

Kejayaan Eugenie Bouchard (gambar) melangkah ke final Wimbledon tahun lalu, turut membuktikan kemampuannya memahami etika pergaulan termasuk melakukan tunduk hormat yang dianggap masyarakat barat ketinggalan zaman.

Namun sesuatu yang mudah seperti berjabat tangan dalam majlis mengumumkan undian perlawanan, sebelum mewakili Kanada dalam perlawanan Piala Fed hujung minggu lalu, terlalu payah buatnya.

Keengganannya bersalaman dengan pemain Romania, Alexandra Dulgheru menjadi petanda malang buat pemain nombor tujuh dunia itu selama beberapa hari.

Bintang yang baru bersinar dalam dunia tenis musim lalu tiba-tiba bertukar malap.

Eugenie akhirnya menderita, bukan saja diaibkan pemain yang rankingnya jauh lebih rendah di depan penyokong sendiri di Montreal, tetapi diejek pasukan Romania selepas mereka mengalami kekalahan.

Jika sebelum ini apa yang dilakukannya tidak dilihat salah kepada rakan senegaranya, kini dia menjadi sasaran kemarahan rakyat Kanada sendiri di media, baik di media sosial atau sebaliknya.

Malah pemain nombor tiga dunia dari Romania, Simona Halep, yang dikenali dengan sikap tenang dan pemalu turut masuk campur dan mencela bagaimana cara Eugenie dibesarkan.

Eugenie menjelaskan apa yang dilakukannya adalah sesuatu yang jujur tetapi hakikatnya sikap seperti budak nakal bukan sesuatu yang bijak. Dia sepatutnya dinasihati supaya mengelak berkelakuan seperti itu sehingga dia menang sekali lagi.

Ini bukan kali pertama Eugenie enggan berjabat tangan yang menjadi tradisi ketika majlis undian sebelum perlawanan Piala Fed, kejohanan yang setaraf Piala Davis bagi lelaki.

Dia melakukan perkara sama kepada pemain Slovakia, Kristina Kucova di depan kamera yang mencetuskan kekecohan di internet.

“Ia bukan sesuatu yang peribadi, saya tidak percaya kepada mengucapkan semoga berjaya kepada lawan sebelum perlawanan,” kata Eugenie kali ini.

Dia yang mula hilang keyakinan, menghampiri saat kejatuhan yang segera hadir, tewas dua perlawanan individu kepada pemain di ranking ke-69 dan 104.

Selepas Alexandra menewaskannya dalam straight set, dia meraikannya dengan rakan sepasukannya dengan berpura-pura menghulur tangan sebelum menariknya kembali.

Alexandra berkata selepas itu, insiden berkenaan meningkatkan motivasinya dan dengan gembiranya mengumumkan ia ‘bukan sesuatu yang peribadi’.

Simona pula memberitahu media Romania: “Saya tidak akan melakukannya tetapi inilah caranya dia (Eugenie) dibesarkan atau pun tabiatnya begitu.”

Musim menakjubkan pada 2014 menyaksikan Eugenie melonjak ke 10 tangga teratas, tanpa sesiapapun menyangka dengan kemuncaknya berada di final Wimbledon.

Namun tahun ini, nampaknya bukan satu tahun mudah buat pemain Kanada itu.

Pandangan simpati mungkin menjurus kepada tekanan hebat menghadapi dua perlawanan suku akhir dan akhir Grand Slam.

Mungkin dia enggan terlalu terbabit dengan hal peribadi seperti yang berlaku di bilik persalinan pemain lelaki. Mungkin juga Eugenie tidak senang jika lawannya bermain dengan baik.

Semuanya kelihatan dalam senyuman yang menandakan dia tidak berminat menjadi rakan kepada pesaingnya.

Ia menjadi satu-satunya sebab dia sering dibandingkan dengan Maria Sharapova. Ada ketikanya dia menjadikan Maria sebagai idolanya tetapi sama ada dia mampu melakukannya dengan baik menjadi persoalan.

Selepas membuat permulaan yang sederhana tahun ini dengan mara ke suku akhir Terbuka Australia, Eugenie kini tewas enam daripada lapan perlawanan, lima daripadanya secara berturut-turut.

Sebaik tewas kepada pemain kelayakan dari Ukraine, Lesia Tusrenko di Indian Wells selepas mendahului 4-1 dia menangis. Dia juga gagal mengawal emosinya di Miami, akhir Mac lalu, selepas tewas kepada pemain nombor 113 dunia, Tatjana Maria, yang popular kerana mendakwa dia pemain ranking tertinggi bergelar ibu dalam jelajah itu.

Eugenie membuat beberapa keputusan penting Disember lalu yang menambah tekanan kepadanya. Dia gagal memperbaharui perjanjian dengan jurulatih veteran Amerika Syarikat, Nick Saviano yang sebelum ini menjadi, dengan satu sumber memberitahu beliau tidak berpuas hati dengan cara rundingan itu dijalankan.

Dia kini bersama Sam Sumyk, bekas jurulatih pemain nombor satu dunia, Victoria Azarenka.

Selepas lapan tahun, Eugenie turut bertukar syarikat pengurusan yang memberikannya peluang bekerja dengan jabatan IMG Model yang mampu memberi kelebihan komersial buatnya yang mempunyai wajah cantik.

Eugenie juga mempunyai etika kerja yang kuat, menunjukkan sikap tidak mempunyai belas kasihan, bijak dan berterus-terang (seperti Maria). Kebangkitannya menaikkan tahap permainan tenis wanita dan pada usia 21 tahun, tentu sekali dia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.

Selepas apa yang berlaku hujung minggu lalu, dia sepatut mengelak perkara itu daripada berulang dan memberi tumpuan terhadap usaha memperbaiki permainannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2015 @ 10:00 AM