AFP

MARIA Sharapova melangkah ke pusingan kedua untuk berdepan Eugenie Bouchard pada Terbuka Madrid selepas bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menewaskan Mirjana Lucic-Baroni 4-6, 6-4, 6-0 semalam.

Eugenie menggelarkan pemain Russia itu ‘penipu’ dan membayangkan dia sepatutnya digantung seumur hidup dan bukannya 15 bulan kerana diuji positif meldonium pada Terbuka Australia 2016.

Pemain Kanada itu menambah dia pastinya mempunyai ‘lebih motivasi’ berdepan bekas idolanya, Maria selepas mencatat kemenangan pertama di Jelajah WTA sejak Januari ke atas Alize Cornet, Sabtu lalu untuk laluan ke pertemuan itu.

“Aksi tenis saya membuktikan kemampuan dan itulah fokus saya,” kata Maria, yang kepulangannya sebaik penggantungan dibatalkan tidak begitu diterima sebahagian rakan pemain.

“Saya lebih senang mendiamkan diri dan biar mereka di sekeliling kecoh mengenainya.”

Di sebalik kontroversi berikutan keputusan memberikannya tiket wildcard, Maria masih menerima sambutan hangat daripada penonton di gelanggang utama Manolo Santana di ibu negara Sepanyol itu.

“Ada sesuatu yang menyeramkan mengenai kejohanan ini,” kata Maria.

“Anda tahu khemah VIP sentiasa penuh tapi gelanggang biasanya tidak menerima penyokong ramai sejak awal perlawanan.”

Selepas mara ke separuh akhir sebalik kembali daripada penggantungan doping di Stuttgart minggu lalu, Maria menampilkan tahap kecergasan luar biasa sejurus menempuhi dua set permulaan mencabar menentang pemain nombor 20 dunia, Mirjana.

Pemain nombor dua dunia Angelique Kerber mudah mara ke pusingan kedua hasil kemenangan meyakinkan 6-4, 6-2 ke atas pemain Hungary Timea Babos. Juara bertahan Simona Halep berjaya menewaskan Kristyna Pliskova 6-1, 6-2.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2017 @ 4:07 AM