Oleh Azlan Muhammad Zain

Johor Bharu: Pengendali Johor Darul Ta'zim (Johor DT) Bojan Hodak menaruh kepercayaan kepada dua pertahanan import, Marcos Antonio dan Hariss Harun untuk mengekang gerakan Dickson Nwakaeme.

Nwakaeme dilabel 'orang besi' dalam kancah bola sepak tempatan dilihat memainkan peranan besar membawa Pahang ke final Piala Malaysia menentang Johor DT, Sabtu ini.

"Separuh akhir pertama dia tidak beraksi namun pada aksi kedua, dia dan Damion Stewart sangat dominan. Kami perlu cuba menghalangnya.

"Saya menaruh kepercayaan kepada Hariss atau Antonio untuk mengekangnya. Nwakaeme jelas terlalu kuat untuk pemain tempatan," katanya selepas sesi latihan di Padang Seri Gelam semalam.

Nwakaeme yang mempunyai fizikal besar memainkan peranan penting ketika menyingkirkan Kedah di pentas separuh akhir pada perlawanan di Kuantan, Jumaat lalu.

"Namun pada masa sama, mereka juga perlu memikirkan kami mempunyai Luciano Figueroa. Dia kini berada pada tahap terbaik," jelas Hodak yang memburu kejuaraan kedua musim ini selepas menjulang trofi Liga Super.

Mengenai pengganti Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak di posisi pertahanan kanan, Hodak berkata, beliau masih belum memutuskannya.

"Ada tiga calon menggantikannya. Saya mempunyai Daudsu (Jamaluddin) yang berpengalaman beraksi di final selain Mahali (Jasuli) yang juga pemain kebangsaan. Seorang lagi Jazarin Jamaludin," katanya.

Johor DT melangkah ke final selepas menafikan saingan sengit FELDA United di separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Oktober 2014 @ 5:03 AM