Johor Bahru: Sepasang tangan emas milik Muhammad Al-Hafiz Hamzah bakal menjadi taruhan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) bagi membawa pulang Piala Malaysia, Sabtu ini.

Penjaga gol berusia 30 tahun itu bakal diberikan kepercayaan pengendali Harimau Selatan Bojan Hodak untuk mengawal gawang Johor DT pada final di Stadum Nasional Bukit Jalil.

Menurut Hodak tiada sebab untuk beliau menukar Al-Hafiz yang sudah beraksi baik sepanjang kempen Piala Malaysia selepas kehilangan penjaga gol utama, Izham Tarmizi Roslan kerana kecederaan.

“Ini kali pertama saya beraksi di final Piala Malaysia. Jika mendapat kepercayaan sudah pasti saya akan memberikan 110 peratus,” kata Al-Hafiz semalam.

Al-Hafiz berkata, dia mengharapkan berada pada prestasi terbaik ketika perlawanan selepas berusaha keras pada sesi latihan di bawah tunjuk ajar jurulatih penjaga gol, Antonio Sasic.

Al-Hafiz bakal berdepan tugas berat menafikan jentera serangan Pahang yang diketuai ‘orang besi’, Dickson Nwakaeme dan Matias Conti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Oktober 2014 @ 5:06 AM