ZAIM dan Ismanira. FOTO Mohamad Sharil Badri Saali
ZAIM dan Ismanira. FOTO Mohamad Sharil Badri Saali
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Semua pihak ada hak dibela dan serah kepada sistem kehakiman untuk menegakkan keadilan, kata peguam kepada ibu Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin, Mahmud Jumaat.

Mahmud berkata, tindakan pihak yang menjatuhkan 'hukuman' sedangkan kes dihadapi ibu bapa kanak-kanak autistik terbabit masih di peringkat awal pendakwaan, adalah tidak wajar.

"Buat masa ini, semua orang ada hak untuk dibela dan kita (peguam) pun tidak dapat tahu (fakta kes) kerana dokumen belum dapat lagi. Tidak wajar dan tidak adil menghukum seseorang dengan hanya bergantung kepada dokumen yang tidak tahu kesahihan.

"Kita tidak tahu apa motif pihak menyebarkan dokumen di media sosial. Kita serahkan kepada pihak kehakiman untuk menegakkan keadilan," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai penyebaran maklumat kononnya fakta siasatan berkaitan kes pembunuhan Zayn Rayyan di media sosial.

Ditanya mengenai tindakan pihak yang menyamakan kes terbabit dengan kes remaja Sindrom Down dikenali Bella, Mahmud berkata, ia berbeza kerana pelaku kes berkenaan sudah dibuktikan bersalah, manakala pendakwaan kes Zayn Rayyan baru saja bermula.

"Saya menyerahkan siasatan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan.

"Beri ruang kepada keluarga bela diri melalui sistem undang-undang negara," katanya.

Katanya, buat masa ini difahamkan keluarga tidak menerima sebarang ancaman fizikal susulan penyebaran maklumat berkenaan di media sosial dan dimaklumkan berada dalam keadaan baik.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, ibu bapa Zayn Rayyan diminta membuat laporan polis sekiranya berasa terancam selepas kertas siasatan kes pembunuhan kanak-kanak itu 'bocor' di media sosial.

Beliau dilaporkan berkata, pihak polis menjaga keselamatan rakyat termasuk ibu bapa Zayn Rayyan bagi memastikan siasatan kes berjalan lancar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 3:23 PM