AZRAAI (kanan) tidak mahu  pemain membuat kesilapan yang mampu merugikan pasukan.
AZRAAI (kanan) tidak mahu pemain membuat kesilapan yang mampu merugikan pasukan.
Oleh Azlan Hafeedz

Kota Bharu: Kelantan mengakui berdepan tugas sukar memungut tiga mata ketika menentang Johor Darul Ta’zim (Johor DT) apatah lagi terpaksa beraksi di gelanggang lawan.

Kejayaan pasukan Harimau Selatan mengalahkan naib juara Piala AFC Kitchee FC Selasa lalu, pasti menyuntik semangat buat anak buah Bojan Hodak yang sudah tentu mahu mengekalkan momentum kemenangan.

Begitupun, pengendali The Red Warriors (TRW) Mohd Azraai Khor Abdullah yakin anak buahnya sudah sedia untuk mempertahankan maruah ketika menentang pasukan bintang itu.

Katanya, selaku pasukan bukan pilihan, pemainnya akan turun tanpa sebarang tekanan walaupun berdepan ribuan penyokong setia Johor DT.

“Rekod pertemuan kami seimbang, namun Johor DT memiliki kelebihan kerana mereka pernah dilatih Hodak yang juga bekas jurulatih Kelantan. Dia tentu arif kekuatan dan kelemahan Kelantan.

“Kami turut memiliki strategi tersendiri bagi memecah pertahanan tuan rumah yang dianggap antara terkuat dalam Liga Super musim ini,” katanya.

Kelantan kini menghuni kelompok tangga ketiga terbawah carta Liga Super bersama ATM serta Sime Darby dan perlu memburu kemenangan jika mahu selamat.

Semalam, Harian Metro melaporkan, kem Kelantan lega selepas Sijil Pemindahan Antarabangsa (ITC) bagi kedua-dua pemain import barunya berjaya diperoleh dalam usaha menambah sengat di jentera serangan.

Bekas jurulatih Harimau Malaya berusia 62 tahun itu berharap kehadiran bekas pemain Olimpik Nigeria bawah 23 tahun, Austin Amutu, 21, dan Gilmar Jose Dos Santos Filho, 27, dari Brazil dapat membantu Kelantan dalam usaha memburu gol.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2015 @ 5:04 AM