CHARMA Harun, ketika Datuk Freddie Fernandez, dan Datuk Khatijah Ibrahim, melakukan ziarah ke rumahnya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
CHARMA Harun, ketika Datuk Freddie Fernandez, dan Datuk Khatijah Ibrahim, melakukan ziarah ke rumahnya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pelakon filem Adik Manja era 1980-an, Dharma Harun Al-Rashid, 68, meluahkan kebimbangan terpaksa keluar dari rumah yang disewa berikutan mempunyai tunggakan sewa mencecah RM7,500.

Dharma yang juga popular menerusi filem Sikit Punya Gila kini menanggung dua anak iaitu Siti Qurratu Aini, 36, dan Muhammad Al Syafiq Mohamad Azman, 35, yang masih menuntut di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dan tidak mempunyai pendapatan tetap untuk menampung hidup.

"Saya memang tiada kerja. Kalau ada tawaran berlakon tiada masalah untuk saya bayar sewa dan tunggakannya. Ia satu perkara yang amat membebankan saya dan buat saya tertekan memikirkannya.

"Kami diberi tempoh sehingga hujung bulan ini untuk menjelaskan tunggakan sewa. Jika tidak, kami terpaksa keluar. Dalam masa sama, anak-anak pula nak duduki peperiksaan hujung bulan ini. Sedikit sebanyak ia buat saya susah hati dan hilang selera makan," katanya ditemui pada sesi penyerahan sumbangan oleh Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez di kediamannya di Wangsa Maju, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Presiden Karyawan, Radhi Khalid dan penyanyi legenda, Datuk Khatijah Ibrahim yang juga ahli Karyawan.

Pada Februari lalu, Dharma menerima kunjungan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Ahmad Farhan Fauzi sempena Program Ziarah Madani.

Dia turut menerima bantuan berupa barangan keperluan dan wang tunai.

Pada 2019, Dharma mengalami serangan angin ahmar menyebabkannya sukar bertutur dengan lancar.

Dia juga berhadapan situasi susah untuk mengingati apa-apa berikutan kesukaran bercakap itu termasuk menghidap asma.

"Syukur ingatan dan percakapan saya kini semakin pulih apabila saya menghasilkan produk di bawah syarikat sendiri WWS Studios Sdn Bhd. Saya kena aktif bekerja dan berhasrat kembali aktif dalam karier seni sama ada mengarah atau berlakon," katanya.

Dharma berkata, dia juga mengharapkan sebuah stesen TV menyelesaikan pembayaran terhadap program terbitan syarikatnya yang sudah mereka tayangkan.

"Mereka dah tayangkan program 13 episod ini pada 2022 dan 'rating'nya agak bagus. Tapi tiba-tiba mereka kata tiada wang untuk bayar saya. Program itu saya hasilkan dengan Dana Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) sebanyak RM300,000.

"Saya kemudian berusaha mencari penaja untuk program itu dan kos keseluruhan ialah RM500,000 untuk 13 episod. Mereka mulanya setuju nak bayar saya RM312,000 tapi sekarang apa pun tiada.

"Kalau mereka dapat bagi separuh dari jumlah itu pun cukuplah untuk saya kembali bernafas. Terus terang cakap, saya hanya perlu sedikit duit saja, tak banyak pun tak apa," katanya.

Menurutnya, jika ada pihak memberi sumbangan RM10,000 sekalipun, dia akan memanfaatkannya untuk membayar sewa rumah dan mencari jalan mencari rezeki.

"Saya tidak sangka perkara ini berlaku kepada saya dan anak-anak. Kalau boleh, kami tidak mahu meminta-minta daripada sesiapa. Ini adalah pertama kali dalam hidup saya berlaku perkara seperti ini.

"Saya tak tahu hari begini akan datang walaupun dulu pelbagai filem sudah saya bintangi. Saya nak bercerita mengenai keadaan sekarang pun rasa malu sebab dulu saya bukan seperti ini.

"Apa saya perlukan ketika ini sumber pendapatan atau pekerjaan untuk menampung perbelanjaan harian. Saya sudah lihat bagaimana pelakon-pelakon lama lain yang berdepan kesusahan, jadi saya cuba elak untuk mendapat nasib sama, tapi Allah lebih berkuasa.

"Saya rancang macam mana sekalipun, tapi semuanya atas kehendak Allah, mungkin juga ini ujian untuk kami sekeluarga," katanya.

Sementara itu, Freddie berkata, Karyawan akan berusaha membantu Dharma menyelesaikan perkara ini termasuk berbincang dengan tuan rumah agar memberi masa sedikit lagi untuk Dharma tinggal di situ.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 3:19 PM