Kuala Lumpur: Volkswagen Group Malaysia Sdn Bhd (VGM) yang menjadikan Malaysia sebagai hab eksport kenderaan Volkswagen (VW) ke pasaran ASEAN akan mula mengeksport model sulungnya, Polo Sedan membabitkan 500 unit ke Indonesia pada akhir tahun ini.

Pengarah Urusannya, Armin Keller berkata, model itu ketika ini dipasang sepenuhnya di kilang VW di Pekan, Pahang bersama dengan tiga lagi model lain iaitu Polo Hatchback, Jetta dan Passat yang turut diedarkan untuk pasaran tempatan.

Beliau berkata, seramai 10 pengedar VW dilantik ketika ini untuk memasarkan beberapa model VW di Indonesia antaranya Caravelle, Polo Hatchback, Golf GTI, Golf TSI, Tiguan, Touareg, Touran dan Scirocco.

“Selain Indonesia, kami turut menyasarkan untuk mengeksport model Polo Sedan dan Passat ke Thailand berikutan permintaan tinggi daripada negara jiran itu selain gaya pemanduan sebelah kanan yang menepati pengeluaran negara itu.

“Di peringkat pengurusan tertinggi Volkswagen AG, kami merancang membuka kilang pemasangan kenderaan VW di Thailand dan Indonesia yang akan mengeluarkan kenderaan bagi memenuhi pasaran domestik di negara masing-masing pada masa depan,” katanya pada Bisnes Metro di majlis penghargaan media, di sini, semalam.

Bagaimanapun, pihaknya tidak dapat memutuskan bila rancangan itu akan dilaksanakan kerana ia bergantung kepada penilaian ibu pejabat, namun melihat ASEAN sebagai antara pasaran yang berpotensi mencatat pertumbuhan tinggi kepada Volkswagen.

Armin berkata, sekiranya rancangan untuk membuka kilang pemasangan itu berjaya, pihak syarikat akan menggunakan teknologi platform terkini MQB yang mana pelbagai jenis model boleh dipasang menggunakan platform unik yang boleh disesuaikan mengikut jenis model yang diperlukan.

Terdahulu, beliau dalam ucapannya berkata, VGM akan melancarkan model Edisi Terhad Volkswagen Jetta Club dan Edisi Sport bulan depan bagi mengukuhkan kedudukannya di pasaran.

“Ini selari dengan pelan arah tuju Strategi 2018 yang bertujuan memacu semua jenama kenderaan sebagai satu jenama utama dalam kalangan pengeluar automotif meliputi jumlah, keuntungan, kualiti serta kepuasan pelanggan.

“Sepanjang tahun lalu, jumlah penghantaran diperingkat global mencatatkan 10.14 juta unit iaitu meningkat 4.2 peratus meskipun dalam persekitaran yang mencabar serta pada masa sama menyaksikan peningkatan jumlah penghantaran bagi Januari dan Februari tahun ini di rantau Asia Pasifik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2015 @ 9:21 AM